KUALA LUMPUR – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, gagal mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 5 tahun terhadapnya, bersabit kesalahan mengabaikan anaknya 3 tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Hisham Ismail, membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tidak terkhilaf fakta atau undang-undang ketika mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap Ismanira, 31.
“Mahkamah ini selepas menimbang rekod rayuan, alasan penghakiman (Hakim Mahkamah Sesyen) dan hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah berpuas hati, Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusannya,” katanya ketika membacakan penghakiman ringkas.
Pada masa sama, Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman, apabila berpendapat hukuman penjara terhadap Ismanira adalah memadai.
Noor Hisham berkata, Mahkamah Tinggi hanya campur tangan jika hukuman dijatuhkan tidak jelas, tidak memadai atau jelas berlebihan dan terdapat kekhilafan prinsip.
“Tertuduh dihukum atas pengabaiannya sendiri, bukan atas perbuatan jenayah pihak ketiga.
“Hukuman penjara 5 tahun yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen bukan sesuatu yang tidak memadai atau jelas berlebihan.
“Kesimpulannya, dengan hormat, rayuan tertuduh dan rayuan silang pendakwa raya adalah ditolak kedua-duanya,” katanya menurut BH di Shah Alam pada Isnin.
Pada Januari lalu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syaliza Warnoh, menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap Ismanira, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Hakim ketika itu memutuskan, pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh sabitan dan dia dikehendaki menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warga tempatan, serta cagaran RM3,000.
Dia juga diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat hukuman penjara, manakala permohonan penangguhan hukuman ditolak dan dikekalkan Mahkamah Tinggi.
Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin, yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran apartmen berkenaan antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Tiara Katirina Fuad, Lavanesh Mahadevan dan Haijan Omar.
Pasukan pendakwaan pula terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Aqharie Durranie Aziz.


