Usaha WCC Pulau Pinang Dalam Mempertingkatkan Kefahaman Hak Wanita Muslim Harus Dipuji.

- Advertisement -

Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff SuaraTV

Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai bahawa agama ini merupakan agama yang syumul, iaitu setiap ajarannya telahpun merangkumi setiap aspek kehidupan seorang manusia. Malah sistem peraturan dan perundangan Islam juga meliputi segala macam perkara yang dihadapi oleh setiap insan dalam mendepani kehidupan di muka bumi ini.

Ajaran Islam turut mempertahankan hak dan keistimewaan kaum hawa, terutamanya dalam konteks peranan mereka sebagai isteri. Institusi perkahwinan di dalam Islam adalah untuk melindungi hak kedua-dua pasangan suami dan isteri supaya mereka dapat hidup dengan aman dan sejahtera, sekaligus membentuk keluarga dan seterusnya masyarakat madani dalam menuju kelestarian pembangunan ummah.

Namun begitu, ramai diantara kita yang menganggap institusi perkahwinan ini adalah sekadar penyatuan untuk menghalalkan perhubungan semata-mata dan tidak lebih dari itu. Malah, akibat kurangnya ilmu pengetahuan di dalam aspek kekeluargaan Islam, ada kalanya pasangan yang membina rumah tangga tidak sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka kepada pasangan masing-masing.

Perkara ini dapat kita lihat apabila terdapatnya peningkatan kes-kes keganasan rumah tangga dan penderaan di dalam keluarga muslim, yang mana wanitalah yang selalu menjadi mangsa. Sedangkan, sekiranya ajaran Islam sebenar itu difahami dan dipakai oleh setiap muslim, sudah tentu perkara ini tidak akan berlaku.

Jika difikirkan secara mendalam, mana mungkin kita tidak tahu tentang hak dan peranan setiap pasangan yang sudah berkahwin, sedangkan setiap suami dan isteri yang bernikah di Malaysia, perlu menghadiri kursus perkahwinan sebelum mendirikan rumah tangga.

Mungkin kerana tidak fokus semasa kursus atau tidak peduli dengan apa yang diajarkan, kita menjadi alpa dengan hak yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada kita di dalam institusi perkahwinan yang kita bina sendiri.

Sebagai manusia, sudah tentu kita tidak lari dari melakukan kesilapan, yang mana kita perlu sentiasa diingatkan supaya tidak terus tersesat dan gagal memahami tanggungjawab kita sebagai seorang insan dan mempertahankan hak kita dalam melayari bahtera perkahwinan.

Baru-baru ini WCC Pulau Pinang dengan kerjasama Canada Fund for Local Initiatives (CFLI) telah melancarkan tiga video pendek berkenaan hak wanita Muslim di dalam perkahwinan.

Video-video yang berdurasi kurang dari 4 minit setiap satu ini memaparkan tokoh-tokoh agama dan perundangan Syariah, yang mana mereka membincangkan secara ringkas dan padat tentang hak seorang Muslimah sebagai isteri di dalam sesebuah perkahwinan.

Penulis merasakan bahawa penerangan yang diberikan di dalam video-video ini amat mudah difahami dan jelas untuk ditonton oleh semua pihak.

Antara tokoh-tokoh yang dipaparkan di dalam video-video tersebut adalah Y.Bhg. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim Bin Wan Mohd. Noor (Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dan YAA Dato’ Muhamad Shakir Bin Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Rayuan di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana autoriti mereka di dalam bidang perundangan Syariah Islam sememangnya tidak dapat dinafikan sama sekali.

Penulis menyarankan agar, mereka yang telah mendirikan rumah tangga ataupun yang sedang berkira-kira untuk bernikah, untuk menonton video tersebut. Bagi yang belum berkahwin, ia adalah satu persediaan untuk anda membina keluarga sakinah, dan bagi yang sudah berkahwinan, maklumat yang didapati dari video-video ini diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman tentang peranan suami dan isteri dalam usaha untuk mengukuhkan “masjid” yang telahpun kita bina.

Tahniah dan Syabas kepada WCC Pulau Pinang dan Canada Fund for Local Initiatives (CFLI) yang telah menyediakan video yang amat mudah untuk kita semua fahami bagi meningkatkan lagi pengetahuan kita semua berkenaan sistem kekeluargaan Islam di Malaysia.

Ketiga-tiga siri video tersebut boleh dilayari menerusi link-link di bawah:
Video #1: Membina Istana Idaman FB: https://www.facebook.com/wccpenang/videos/586173725717466/
Video #2: Ta’liq
FB: https://www.facebook.com/watch/?v=278501860409285
Video #3: Nafkah
FB: https://www.facebook.com/wccpenang/videos/426665459049039/

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat