PH Perlu Tampil Ramai Calon Anak Muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 peratus golongan muda yang berkemahiran dan berpengalaman dalam pelbagai bidang perlu diketengahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee Chuan How berkata, pembangkang perlu menampilkan muka-muka baharu daripada kelompok itu bagi mengukuhkan keyakinan pengundi yang disifatkan semakin pudar.

Hal itu berikutan, corak politik negara masih dikaitkan dengan ‘orang lama’ dengan cara lama yang menuntut kepada perlunya pembaharuan demi memenangi pilihan raya sekali gus membentuk kerajaan baharu.

“Saya tidaklah menuntut, cuma sudah tentu saya akan membuat permintaan dan cadangan supaya kita dapat menampilkan sekurang-kurangnya satu per lima calon muda daripada semua calon yang bertanding.

“Katakan ada lima kriteria utama untuk menjadi calon, jadi salah satu daripadanya ialah muda dan baharu tetapi perlu ada pengalaman dan kepakaran walaupun kedua-dua aspek ini tidak datang seiringan kerana saya sendiri orang muda tetapi bukan baharu dalam politik.

“Selain itu, sudah tentu jika mahu menjadi wakil rakyat sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, mestilah fasih berbahasa Melayu walaupun saya anggap sebagai akademik,” katanya semalam.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu berkata demikian ketika ditanya mengenai unjuran calon muda yang akan diketengahkan dalam menghadapi PRU-15 ketika beliau baharu dilantik sebagai Ketua Pemuda PH yang baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu dilantik pada 12 September lalu menggantikan penyandang sebelumnya, Shazni Munir Mohd. Ithnin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19, 24 Julai lalu.

Selain Chuan How, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha PH, Pengarah Strategi PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH, Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil dan Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), Senator Aiman Athirah Al Jundi sebagai Ketua Wanita PH. – UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,581FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat