PAS Sedia Lawan Jika Anwar Mahu Tanding Di Perak

- Advertisement -

IPOH – Pas Perak berlapang dada sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, jentera parti tersebut telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya Ketua Pembangkang itu mahu bertanding di mana-mana kawasan yang ditandingi calon Pas di negeri ini.

“Itu politik dialah (Anwar), dia nak bertanding mana-mana dia punya sukalah. Sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Perak, jentera kita sudah bersiap sedia di semua peringkat.

“Siapa sahaja calon lawan kita bersedialah… dan kalau Datuk Seri Anwar mahu bertanding kebetulan di kawasan Pas, kita bersedialah untuk lawan,” katanya.

Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Izzudin Shah di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dilaporkan mempelawa Anwar untuk bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Perak pada PRU-15.

Media melaporkan, tawaran itu dibuat Farhash Wafa dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR negeri baru-baru ini sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan Perak.

Dalam pada itu, Mohd Akmal yang juga Exco Perak meminta PKR negeri agar tidak terlalu berpolitik ketika ini, sebaliknya, memberi tumpuan terhadap usaha membendung penularan COVID-19 dalam negara.

“Nasihat saya kepada PKR jangan terlalu berpolitik sangat. Kita tumpu pada usaha vaksinasi dan memutuskan

penularan COVID-19 supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

“Jadi kita nasihat supaya henti sekejap politik itu. Nanti hendak dekat PRU, baru kita umumkan siapa calon untuk lawan dia (Anwar) ke atau siapa calon-calon kita di tempat-tempat tertentu,” ujarnya lagi. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat