Warisan Didakwa Tawar ADUN PBS Duit, Jawatan Untuk Lompat

- Advertisement -

Kota Kinabalu – Parti Bersatu Sabah (PBS) mendakwa Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan bekas ketua menteri, Datuk Seri Shafie Afdal cuba bermain politik kotor.

PBS melalui satu kenyataan yang dikirimkan kepada SuaraTV sebentar tadi berkata, tindakan Warisan menyebarkan propaganda kotor telah menyebabkan parti itu menjadi sasaran fitnah.

“Dalam kemelut pelantikan calon Ketua Menteri belum diumumkan. Propaganda politik mulai tersebar, khabar angin pengkhianatan mula bertiup dan PBS sekali lagi dijadikan sasaran bicara dan fitnah.

“Mainan politik kotor oleh parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti – kini berubah wajah, berubah rupa. Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik dari parti Malaya tapi sebenarnya bertopengkan musang,” memetik kenyataan tersebut.

PBS juga mendakwa beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu telah ditawarkan wang dan kuasa sekiranya bersetuju untuk melompat parti bagi menyatakan sokongan terhadap Warisan.

“Kerana mahukan jawatan dan kuasa, parti kapal ini mula menghubungi YB YB PBS untuk membeli kerusi. Mereka sanggup menawar duit dan jawatan untuk YB YB PBS.

“Sedarlah wahai WarisanPlus, PBS bukan parti yang baru dibina kelmarin, PBS bukan parti yang murahan dan tidak berwibawa. PBS terbentuk dari rakyat, oleh rakyat dan bagi rakyat.

“PBS pernah dianiaya, difitnah dan dicaci, tapi PBS kekal berdiri untuk rakyat. PBS berpegang pada prinsip dan maruah, PBS akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” tegas kenyataan itu lagi.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang di adakan semalam menyaksikan Warisan tumbang apabila gagal membentuk kerajaan negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan Perikatan Nasional (PN) berjaya memperolehi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) 14, PBS tujuh kerusi, manakala Bebas tiga kerusi sekaligus layak membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Sementara itu Warisan hanya berjaya memperolehi 29 kerusi, PKR dua dan UPKO satu kerusi.

Sehingga kini Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin belum memberi perkenan untuk melantik ketua menteri yang baharu.

Tun Juhar melalui satu kenyataan siang tadi meminta sedikit waktu sebelum membuat keputusan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat