KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming merayu semua pihak agar bersimpati dan bersifat manusiawi dengan keperitan hidup rakyat yang menduduki rumah flat yang daif dan usang di seluruh negara.
Kor Ming menekankan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan semua pihak bersifat manusiawi dan bersimpati terhadap keperitan hidup dan keperluan sebenar penduduk di flat rumah yang usang dan daif supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (URA) 2025 tidak disalah tafsir dengan fakta yg tidak benar.
Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan Perdana Menteri di galeri pameran Akta PSB di Bangunan Parlimen pagi tadi.
“RUU URA ini bukanlah perkara baharu yang dibawa oleh kerajaan hari ini. Malah, garis panduan Pembangunan Semula Bandar sudah wujud sejak 2012 dan kerajaan-kerajaan sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk meluluskan akta ini demi membantu rakyat yang terkesan ketika mereka mentadbir.
“Namun kini, apabila berada di blok pembangkang, mereka menukar pendirian dan memutarbelitkan RUU ini. Seharusnya mereka bersikap jujur dan tidak mempolitikkan isu yang berniat suci murni ini,” bidas Kor Ming.
Pengerusi DAP Perak itu berkata lagi, “perlu ditegaskan setakat ini 534 buah kawasan di bawah kerajaan negeri, termasuk negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah telah pun dipersetujui oleh kerajaan negeri termasuk warta untuk pelaksanaan Pembangunan Semula Bandar sebelum ini.
Oleh itu, Kor Ming berkata adalah tidak wajar pihak yang sebelum ini menyokong kini mengambil pendirian untuk membantah pelaksanaan Pembangunan Semula Bandar.
Sebelum itu, pada sesi waktu pertanyaan Perdana Menteri PMQT di Parlimen pagi ini, Perdana Menteri turut menolak dakwaan berunsur perkauman yang membuat tohmahan RUU URA ini merupakan strategi kaum Cina untuk merampas hak Melayu dan menegaskan bahawa kepentingan Bumiputera yang merupakan majoriti akan sentiasa dipertahankan oleh beliau dan Akta Pembangunan Semula Bandar ini bersifat adil dan inklusif.



