Rai kebersamaan

- Advertisement -

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara turut menjejaskan Pusat Seni Pulau Pinang atau Performing Arts Centre of Penang (PenangPAC) apabila mengalami krisis kewangan yang besar.

Pengurus, Alexander Ooi berkata, pihaknya tidak pasti bagaimana masa depan mereka dan kelangsungan organisasi PenangPAC pada bulan seterusnya.

“Kami tahu tidak bersendirian dalam perjuangan ini. Malah, kami juga tahu PenangPAC menjadi satu-satunya pusat seni persembahan yang berfungsi sepenuhnya di Wilayah Utara Malaysia.

“Namun, ini tidak menjadikan kami istimewa pada saat seluruh rakyat di negara ini bersatu untuk sama-sama berjuang meneruskan hidup.

“Kita semua berganding bahu untuk saling kerjasama dalam usaha yang amat gigih untuk memerangi pandemik ini berhabis-habisan,” katanya.

Menurutnya, penularan Covid-19 mengingatkan mereka di PenangPAC, betapa beruntungnya memiliki pertalian erat antara satu sama lain dalam industri seni.

“Hingga kini, kami mendapat banyak sokongan semua lapisan masyarakat berlainan bangsa serta dari pelbagai industri.

“Ini yang dikatakan semangat harmoni dan perpaduan Malaysia. Menerusi kegigihan ini, kami memutuskan untuk meraikan semangat kebersamaan yang indah ini dengan semua penggiat seni berbilang kaum di Pulau Pinang.

“Justeru, PenangPAC menjadikan bulan kemerdekaan pada Ogos ini sebagai waktu paling simbolik dalam setahun untuk mengira keberkatan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

PenangPAC anjur persembahan Merdeka! Merdeka! Merdeka! With Faridah esok.
PenangPAC anjur persembahan Merdeka! Merdeka! Merdeka! With Faridah esok.

Bertitik tolak daripada itu, PenangPAC mengadakan persembahan Merdeka! Merdeka! Merdeka! With Faridah esok, jam 3 petang.

Pengurus Produksi PenangPAC, Ilya Rusadi berkata, betapa istimewa persembahan Merdeka! Merdeka! Merdeka! with Faridah kerana ia pernah dipentaskan kali pertama pada 2016.

“Bermula daripada situ, persembahan yang dikhaskan untuk meraikan semangat Malaysia ini dijadikan acara tahunan di PenangPAC.

“Bagaimanapun, persembahan tahun ini agak menarik kerana cabaran yang dihadapi. Apatah lagi dengan semangat kental yang membara di hati kami.

“Ia juga istimewa kerana akan mendapat kunjungan pertama dibuat pengasas bersama kami iaitu Datuk Dr Faridah Merican dan Joe Hasham sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa,” katanya.

Persembahan Merdeka! Merdeka! Merdeka! with Faridah berlangsung di pentas 2, PenangPAC yang akan dihoskan Faridah sendiri.

Persembahan yang menumpukan tema merdeka ini bakal menampilkan barisan artis berbakat dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

OMAR
OMAR

Program ini juga ditaja sepenuhnya oleh PETACH di bawah kelolaan Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin.

Kumpulan yang akan membuat persembahan pula ialah Shuq Dancer (tarian silat & tradisional Melayu), Omar Ali (deklamasi puisi & Rukun Negara), kumpulan teater BAKAWALEE Penang (teater komedi), Azmi Hussin (lukisan karikatur secara langsung), The Joyous Chinese Chamber (muzik tradisional Cina), Garu Rumon (komedi berdiri) dan Monica & Menan Mohan (drama Tamil).

Tidak ketinggalan, kemuncak persembahan akan diserikan dengan persembahan bacaan puisi merdeka khas oleh Faridah bersama Joe Hasham.

Persembahan yang merangkumi nyanyian lagu Negaraku itu disertakan juga dengan permainan kuiz diberi untuk memenangi hadiah istimewa.

Bagi orang ramai yang berminat menyaksikan persembahan ini, tiket berharga RM32.

Untuk maklumat lanjut, boleh didapati di https://proticket.com.my.

harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat