Lebih 600 petugas kendali PRK DUN Slim esok – Pengerusi SPR

- Advertisement -

TANJUNG MAL: Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok, yang melibatkan 12 pusat mengundi dan 54 saluran, kata Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pusat mengundi tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Abdul Ghani berkata pihaknya berharap keputusan PRK itu dapat diketahui sebelum 9 malam sekiranya tiada bantahan dan gangguan.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 85 peratus daripada 22,749 pengundi biasa keluar mengundi esok, berbanding sasaran 70 peratus sebelum ini dengan mengikut peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan COVID-19.

“Ini (patuh SOP) supaya keselamatan diri dan keluarga terjamin kerana kita masih berada dalam musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kita takut nanti pengundi apabila pulang, membawa masalah kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat perjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Ghani turut mengingatkan para pengundi supaya mematuhi peraturan seperti tidak berpakaian yang melambangkan mana-mana parti politik kerana boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi serta dikenakan tindakan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan mengingatkan semua parti atau calon bertanding, mereka dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,’’ katanya menjelaskan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat