PAS Zahir Komitmen Bersama UMNO Dalam MN Kata Hadi

- Advertisement -

Kuala Lumpur – PAS akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menghormati proses mahkamah yang berteraskan prinsip Kedaulatan Undang-Undang (Rule of Law) yang didukung oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

“PAS yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapat keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya.

“Walau dalam apa keadaan sekalipun, PAS menzahirkan komitmen bersama UMNO dalam Muafakat Nasional di samping terus memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan membuat satu keputusan politik selepas kes SRC International Sdn Bhd.

“UMNO akan buat keputusan politik berkaitan keputusan mahkamah kes DS @NajibRazak hari ini. Harap semua pihak berlapang dada.

“Yakin DS Najib masih ada ruang mendapatkan keadilan mengikut proses perundangan negara,” tulisnya sebentar tadi.

Terdahulu ahli parlimen Bagan Datuk itu turut menegaskan UMNO bakal membincangkan mengenai hala tuju parti itu di dalam kerajaan Perikatan (PN).

“Maka tentunya ada sesuatu yang akan dilakukan oleh UMNO. Tunggulah keputusan-keputusan yang akan kami perbincangkan.

“Maka tentunya apa yang akan kami lakukan adalah tindakan bersifat usaha bagi menentukan hala tuju kerajaan yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana tersebut.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram, manakala pasukan pembelaan Najib diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat