KUALA LUMPUR – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil menasihatkan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk belajar daripada pengalaman dan kekalahan.
Hal ini kerana Isham yakin suatu hari nanti Rafizi akan diangkat sebagai Presiden PKR.
“Saya baru dengar berita Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan. Memang patut dia letak jawatan sebab dia yang buat janji tersebut.
“Sepatutnya hari Sabtu lepas lagi dia sudah letak jawatan, tapi mungkin dia tunggu habis bergambar di mesyuarat Asean baru dia umum letak jawatan.
“Saya tidak simpati Rafizi letak jawatan. Saya lihat dia perlu banyak bayar kifarah.
“Dia tahu apa yang dia buat, sebelum ini dia banyak terlibat jatuhkan orang dan berkempen negatif mencaci dan mencemuh orang. Kali ini dia dijatuhkan oleh partinya sendiri. Ini hukum karma,” kata Isham di Facebooknya pada Rabu.
Bukan cuma itu, Isham juga berharap selepas ini Rafizi belajar supaya menjadi lebih positif dan kurang negatif.
“Jika dia belajar dari episod ini dan berubah, dia berpotensi menjadi pemimpin yang baik, sekurang-kurangnya lebih baik daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kepada Rafizi, belajarlah dari pengalaman ini, satu hari nanti kamu akan jadi Presiden PKR,” kata Isham lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga mendakwa Rafizi
tidak ‘perform’ sebagai Menteri Ekonomi.
“Dia (Rafizi) sendiri mengaku susah jadi Menteri Ekonomi, dan saya lihat dia tidak boleh handle jawatan itu. Mungkin lebih baik untuk negara dan rakyat Malaysia jika dia tidak pegang jawatan tersebut.
“Hutang negara makin meningkat melebihi 65 peratus, harga minyak semakin naik bukannya turun, dan janji banyak tidak ditunai. Bak kata Datuk Seri Najib, Rafizi ini tidak faham ekonomi.
“Dan saya lihat dia letak jawatan sebab dia tidak ada pilihan, bukan sebab prinsip. Kerana jika dia tidak letak jawatan, setiap hari dia masuk pejabat sebagai menteri dalam dua tahun akan datang, dia akan rasa malu, bermuka tembok dan dicemuh oleh orang ramai termasuk penjawat-penjawat awam di kementeriannya.
“Saya tidak rasa dia mampu hadap semua ini kerana orang yang kenal dia tahu yang dia ini seorang yang emosional,” katanya.
Isham juga sempat mengajukan soalan kepada Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar terkait status Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
“Nurul Izzah, apa cerita Azam Baki? Dah roger Papa ke belum? Soal Isham.
Izzah sebelum ini didesak menunaikan janji untuk memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menarik balik pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Desakan itu dibuat susulan pelantikan semula Azam untuk tahun ketiga berturut-turut sejak 2023, yang didakwa mencemari agenda reformasi institusi pencegahan rasuah negara.