KUALA LUMPUR – Ahli PKR Faiz Na’aman menyambut baik khabar angin kepulangan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke pentas politik Umno.
Hal ini katanya, secara tidak langsung kembalinya bekas Ketua Pemuda Umno itu dapat mengimbangi imej ‘terpaling’ Datuk Dr Akmal Saleh dan pendukungnya.
“Suatu perkembangan yang menarik jika benar. Ia menafikan spekulasi kononnya KJ akan tubuhkan parti baru.
“KJ juga sahabat Nurul Izzah Anwar di luar parti. No wonder sebelum ini KJ “tibai” Ketua Pembangkang (PN) di podcast beliau. Bahkan dalam pemilihan PKR baru-baru ini pun komentar KJ di podcast Keluar Sekejap seolah lebih memihak kepada Nurul Izzah (sikap Datuk Seri Rafizi Ramli juga dikritik oleh Ong Kian Ming dari DAP dalam podcast yang sama).
“Secara tidak langsung kemasukan kembali KJ dalam Umno dapat mengimbangi imej “terpaling” Akmal Saleh serta para pendukungnya,” bidas Faiz dalam hantaran di Facebooknya.
Bekas ahli MPT Bersatu itu juga yakin, Khairy juga mampu jadi penghubung antara pihak BN (Umno) dengan Pakatan Harapan (PH) terutama untuk generasi belia serta kelompok korporat dan professional.
“Saya yakin usaha ini sebahagian daripada grand agenda PH-BN untuk PRU16 and beyond,” dakwa Faiz.
Beliau berkata demikian mengulas laporan SuaraTV semalam bahawa Khairy dilaporkan sedang dalam proses untuk kembali menyertai Umno selepas lebih dua tahun dipecat dari parti itu.
SuaraTV semalam melaporkan, Khairy sedang dalam proses untuk kembali menyertai Umno selepas lebih dua tahun dipecat dari parti itu.
Difahamkan usaha membawa pulang Khairy ke dalam Umno bermula selepas pemergian bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tun Abdullah bukan sahaja bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno tetapi juga merupakan pemimpin yang bertanggungjawab membawa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali ke elit politik selepas tersingkir dalam era awal reformasi.
Sejak beberapa minggu lepas dikatakan telah ada perbincangan antara pegawai kedua-dua pemimpin tersebut setelah mendapat isyarat positif dari Ahmad Zahid.
Khairy sebelum ini dipecat pada Januari 2023 atas dakwaan pelanggaran disiplin ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memburukkan Presiden parti.