SEREMBAN, — MUDA Negeri Sembilan menyatakan kekecewaan terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal mengurus kemelut institusi adat sehingga berlarutan dan menjejaskan tadbir urus negeri.
Dalam kenyataan media, MUDA berkata pihaknya tidak menutup mata terhadap kegagalan kepimpinan PH yang membiarkan kemelut itu berpanjangan sehingga memberi kesan kepada pentadbiran negeri.
Menurut MUDA, kemelut melibatkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sepatutnya ditangani dengan penuh diplomasi, ketelusan dan penghormatan terhadap institusi adat Negeri Sembilan.
Sebaliknya, parti itu berkata kegagalan rundingan dan ketiadaan penyelesaian tuntas telah membuka ruang kepada percaturan politik yang akhirnya memangsa rakyat.
“MUDA tidak akan menutup mata terhadap kegagalan kepimpinan Pakatan Harapan yang membiarkan kemelut ini berlarutan sehingga menjejaskan tadbir urus negeri,” menurut kenyataan itu.
MUDA turut menyifatkan penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri sebagai bukti bahawa kepentingan politik telah mengatasi kepentingan rakyat.
Menurut parti itu, Negeri Sembilan bukan medan tawar-menawar kuasa, sebaliknya negeri adat perpatih yang berdiri atas nilai muafakat dan keluhuran.
“Adat Perpatih berdiri atas nilai muafakat dan keluhuran, bukan percaturan politik sempit,” katanya.
Bagaimanapun, MUDA turut memandang serius tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO/Barisan Nasional yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Parti itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai menggugat kestabilan negeri dan membuktikan politik penarikan sokongan terus digunakan sebagai alat tekanan kuasa.
MUDA berkata kedua-dua pihak, PH dan BN, telah gagal menjunjung amanah rakyat.
Sehubungan itu, MUDA Negeri Sembilan mendesak semua pihak menghentikan percaturan politik dan mengembalikan fokus kepada pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat.
“Rakyat tidak memilih wakil untuk bermain politik kuasa. Rakyat memilih wakil untuk mentadbir,” menurut kenyataan itu.



