BN Negeri Sembilan bidas Fahmi, krisis bukan ‘tebuk atap’ tapi hilang keyakinan terhadap MB

SEREMBAN,— UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menolak dakwaan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil bahawa tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai usaha “tebuk atap”.

Dalam kenyataan media hari ini, UMNO BN Negeri Sembilan menegaskan pendirian 14 ADUN BN itu dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip.

Menurut BN, tindakan tersebut bukan gerakan sulit, bukan rundingan pintu belakang dan bukan cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri secara tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, BN berkata tindakan menarik sokongan itu merupakan pendirian politik yang sah selepas keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar didakwa telah hilang.

“Pakatan Harapan perlu memahami bahawa isu ini bukan sekadar pertikaian politik biasa.

“Isu ini menyentuh krisis yang melibatkan Institusi Adat, Perlembagaan Negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta kestabilan pentadbiran negeri,” menurut kenyataan itu.

UMNO BN Negeri Sembilan berkata parti itu tidak mencampuri urusan adat.

Bagaimanapun, katanya, apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat, mencetuskan pertikaian awam serta Exco UMNO BN tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, keputusan yang tidak dimaklumkan, tidak dipersetujui dan tidak selari dengan prinsip menghormati adat serta perlembagaan negeri tidak boleh terus dipikul bersama oleh BN.

“Atas sebab itu, tindakan menarik sokongan ini bukan soal prestasi harian Menteri Besar semata-mata, tetapi soal keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan beliau dalam mengurus krisis institusi yang amat sensitif,” katanya.

BN turut berpandangan isu berkaitan adat, institusi dan pentadbiran Negeri Sembilan sewajarnya ditangani dengan penuh kefahaman terhadap konteks negeri tersebut.

Sehubungan itu, ruang penjelasan utama wajar diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat Negeri Sembilan yang lebih memahami kedudukan adat, perlembagaan dan sensitiviti setempat.

Dalam masa sama, UMNO BN Negeri Sembilan menegaskan pihaknya tetap menjunjung kasih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, mempertahankan Institusi Adat Negeri Sembilan dan berpegang kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi,” menurut kenyataan itu.

BN turut menyeru semua pihak termasuk PH supaya tidak meremehkan krisis tersebut dengan menyempitkannya kepada naratif “tebuk atap” atau perebutan kuasa semata-mata.

Katanya, rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan jujur tentang bagaimana krisis itu berlaku, mengapa Exco UMNO BN tidak dimaklumkan, dan bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri boleh dipulihkan.

“Ini bukan tebuk atap. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.

“UMNO BN tidak campur urusan adat. Tetapi UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Fahmi dilaporkan mengkritik tindakan BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin dan menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan “tebuk atap” terhadap kerajaan negeri.
.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat