KUALA LUMPUR – “Kita tunggu Setiausaha Agung (Perikatan Nasional) mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan (mengenai krisis di Negeri Sembilan), kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur lapor BH pada Selasa.
Jelas Muhyiddin, konflik berkenaan bukan hanya membabitkan Bersatu semata-mata, sebaliknya turut membabitkan Pas dan ditangani atas kapasiti gabungan PN.
“Ini bukan soal Bersatu. Ini juga soal Pas dan kami ambil pendirian atas nama Perikatan Nasional (PN).
“Jadi saya fikir yang wajar mengeluarkan kenyataan itu sama ada daripada Pengerusi atau Setiausaha Agung (PN). Boleh tanya Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” katanya.
Semalam, lima Adun PN Negeri Sembilan dilapor sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri yang kini berdepan krisis kepimpinan.
Perkara itu diumumkan oleh Adun Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dalam sidang media khas, semalam.
Terdahulu, semua 14 Adun Umno sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Adun PKR bagi kawasan Sikamat.
Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan tindakan itu diambil kerana kecewa krisis institusi adat dan perlembagaan Negeri Sembilan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, selain memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.



