Petronas gagal halang perbicaraan saman Petros

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Petronas gagal dalam cubaan untuk menghentikan perbicaraan saman yang difailkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung tuntutan bayaran bekalan gas asli.

Saman tersebut, yang difailkan Petros pada 15 Oktober 2024, memohon satu perisytiharan bahawa tuntutan Petronas terhadap jaminan bank berjumlah RM7.95 juta adalah tidak beretika, tidak sah, dan oleh itu, batal serta tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang.

Petronas sebelum ini memohon perintah injunksi untuk menggantung prosiding sehingga selesai kes berasingan difailkan oleh Shell SDMS Sdn Bhd terhadap Petronas dan Petros di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kes tersebut bertujuan menentukan kepada pihak mana Shell SDMS perlu membuat bayaran gas yang dibekalkan.

Namun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faridz Gohim Abdullah menolak permohonan injunksi itu selepas bersetuju dengan hujahan Petros bahawa tiada keadaan luar biasa yang membolehkan penangguhan diberikan. Beliau juga menekankan bahawa sebarang penangguhan boleh menyebabkan ketidakadilan kepada Petros dan bertentangan dengan kepentingan awam.

Mahkamah turut mengambil kira bahawa prosiding di Mahkamah Tinggi Kuching telah sedia untuk didengar, manakala kes di Kuala Lumpur masih berada pada peringkat awal pengurusan kes dengan tarikh pengurusan praperbicaraan seterusnya ditetapkan pada 23 Mei 2025, lapor NST di Kuching pada Isnin.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah dibenarkan hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah) dalam perbicaraan ini.

Susulan keputusan tersebut, tarikh 11 Jun 2025 telah ditetapkan untuk pendengaran penuh saman Petros.

Sementara itu, permohonan lisan oleh peguam utama Petronas, Alex Ngu, untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan juga ditolak. Mahkamah mengarahkan supaya permohonan rasmi difailkan sekiranya Petronas ingin meneruskan rayuan.

Dalam samannya, Petros mempertikaikan kesahihan Perjanjian Jualan Gas Sarawak (SGSA) bertarikh 30 Disember 2019, atas alasan Petronas tidak memiliki lesen yang sah di bawah Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO 2016) untuk mengedar gas di negeri ini.

Petros mendakwa sebarang penguatkuasaan SGSA akan melibatkan pengiktirafan terhadap perjanjian yang tidak sah.

Sebaliknya, Petronas berpendirian bahawa hak-haknya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) mengatasi undang-undang negeri, dan SGSA kekal sah dan boleh dikuatkuasakan. Dalam afidavit yang difailkan pada 5 November 2024, Petronas menegaskan ia kekal sebagai agregator sah bagi bekalan gas asli di Malaysia.

Pada 17 Februari 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan di Parlimen bahawa Petros adalah agregator gas bagi negeri Sarawak.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat