KUALA LUMPUR – Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh tersilap dalam pilihan raya di enam negeri ini dengan terlalu optimis di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan atau dengan terlalu pesimis dengan kekalahan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
Veteran DAP Lim Kit Siang mengingatkan, di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, kerajaan negeri perlu membuka “kuda-kuda perang” untuk menangkis cubaan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi kerajaan negeri di Selangor dan Negeri Sembilan.
Bagi mengekalkan Pulau Pinang pula, beliau berkata parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Anwar perlu menunjukkan usaha yang lebih kuat untuk mencapai keputusan yang lebih baik berbanding dengan PRU14 dan PRU15.
Pun begitu, Kit Siang berkata tiga negeri yang diperintah PAS tidaklah terlalu kebal untuk ditembusi.
“Kedudukan PN di tiga negeri yang diperintah PAS juga tidaklah kebal, dan saya berasa optimis yang parti-parti Kerajaan Perpaduan mampu untuk memenangi lebih dari tiga kerusi di Kedah dan menembusi kubu PN di Kelantan dan Terengganu.
“Namun, perlulah adanya strategi untuk melawan dan mendedahkan penipuan, fitnah, dan berita palsu yang digunakan sebagai asas kemenangan PN,” tegas Kit Siang dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau lagi, PRN di enam negeri itu akan diadakan dalam masa 12 ke 14 minggu yang akan datang.
“Matlamat untuk Kerajaan Perpaduan adalah untuk menunjukkan yang fenomena “gelombang hijau” PRU15 adalah salah, bahawa fenomena ini sebenarnya dibina berasaskan kepada penipuan, fitnah, dan berita palsu di media sosial.
“Pemimpin PN dari Bersatu dan PAS telah mengatakan secara terbuka yang PN boleh membentuk kerajaan negeri Selangor, mempunyai kemungkinan 50-50 untuk membentuk kerajaan negeri di Negeri Sembilan, dan boleh mencatatkan kemajuan di Pulau Pinang, kononnya Kerajaan Perpaduan Anwar tidak akan mampu untuk memenangi lebih dari tiga kerusi di Kedah dan PN akan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan dan Terengganu.
“Apa yang diperlukan untuk membuktikan “gelombang hijau” ini hanyalah mimpi adalah untuk Kerajaan Perpaduan Anwar mengekalkan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dan untuk memenangi lebih dari tiga kerusi di Kedah dan menang sekurang-kurangnya satu kerusi di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.