PKP: Keluarga Sebak Sambut Kepulangan Pelajar IPT

- Advertisement -

KEPALA BATAS – Hati ibu mana yang tidak resah dan gelisah mengenangkan anak kesayangan terkandas lebih sebulan di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

Sarimah Che Man dari Teluk Air Tawar, Pulau Pinang berkata, setiap hari dia berdoa agar anak lelakinya, Danial Hakim, yang merupakan penuntut tahun pertama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Dia bersyukur apabila kerajaan akhirnya membuat keputusan membenarkan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih berada di kampus untuk pulang ke kampung halaman.

“Saya tidak berhenti berdoa kepada Allah supaya dia dapat balik. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami. Alhamdulillah, rezeki… sebelum PKP lagi dia sudah berada dalam kampus dan tidak sempat balik semasa PKP dikuat kuasa.

“Semasa kerajaan umum PKP, dia hubungi saya kata dia terkandas di terminal bas. Dia kata tidak dapat bas untuk balik kampung. Semasa itu saya takut dengar berita itu.

“Tetapi kerajaan kata akan menaja makan dan minum sepanjang mereka berada di dalam kampus. Alhamdulillah semuanya selamat. Syukur hari ini dapat juga balik,” katanya.

Danial Hakim merupakan antara 59 pelajar yang tiba di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas, Pulau Pinang awal pagi Selasa.

Bas yang membawa kumpulan pelajar itu tiba kira-kira jam 4.25 pagi dan mereka dijemput waris masing-masing untuk pulang ke rumah.

Beberapa waris yang ditemui turut berterima kasih kepada kerajaan kerana menjaga keselamatan pelajar sepanjang tempoh PKP sehingga mereka kembali ke pangkuan keluarga.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 863 pelajar dihantar pulang dari Zon Tengah ke Zon Utara bermula Isnin manakala 265 pelajar akan dihantar pulang dari Zon Utara ke Zon Tengah pada malam Selasa.

Katanya, seramai 1,128 pelajar IPTA dan IPTS mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bermula malam Isnin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat