Setiap kali Ramadan melabuhkan tirainya dan Syawal mula menjelma, ada satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Rasa rindu, rasa syukur, rasa ingin kembali kepada yang tersayang. Dan dalam setiap detik itulah, muzik sering menjadi bahasa paling jujur untuk menyampaikan emosi.
Tahun ini, SAJI menghidupkan rasa itu menerusi pelancaran muzik video raya terbaharu mereka, “Menyala Lagi Raya”, yang diperkenalkan secara rasmi pada 11 Mac 2026 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Lebih daripada sekadar sebuah lagu, karya ini hadir sebagai nadi kepada kempen raya SAJI, sekali gus menjadi simbol kepada semangat Aidilfitri yang tidak pernah pudar.
Sejak awal tontonan, muzik video ini sudah mampu menarik perhatian. Ia tidak sekadar menyajikan visual yang indah, tetapi membawa penonton menyusuri perjalanan emosi yang cukup dekat dengan kehidupan sebenar. Kisahnya sederhana, namun penuh makna tentang keluarga, tentang jarak yang akhirnya dipendekkan, dan tentang hati yang kembali bertaut selepas sekian lama terpisah.
Dibintangi oleh nama-nama besar seperti Dato’ Awie, Vanidah Imran, Nadia Aqilah dan Anas Rizuan, setiap watak yang dibawa terasa hidup dan jujur. Mereka tidak sekadar berlakon, tetapi seolah-olah menghidupkan kembali kenangan kita sendiri kenangan pulang ke kampung dengan penuh debar, suasana dapur yang sibuk menjelang raya, dan detik paling dinanti… saat tangan dihulur, maaf dipohon, dan air mata jatuh tanpa dipinta.

Turut diserikan dengan penampilan khas barisan pelakon lain, muzik video ini berjaya menampilkan pelbagai lapisan emosi daripada kegembiraan kanak-kanak yang tidak sabar menunggu raya, hinggalah keharuan orang dewasa yang memikul makna sebenar sebuah kemaafan.
Apa yang menjadikan “Menyala Lagi Raya” begitu istimewa adalah keupayaannya menyentuh perkara yang sering kita abaikan dalam kesibukan hidup nilai kebersamaan. Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, kita kadang-kadang terlupa bahawa momen paling berharga sebenarnya adalah yang paling sederhana; makan bersama, ketawa bersama, dan saling memaafkan tanpa syarat.
Lagu ini seolah-olah berbisik lembut kepada pendengarnya bahawa walau sejauh mana kita melangkah, ada satu tempat yang sentiasa menunggu untuk kita kembali. Aidilfitri menjadi titik pertemuan itu. Ia bukan sekadar perayaan, tetapi sebuah perjalanan pulang… pulang kepada keluarga, kepada kenangan, dan kepada diri sendiri.
Menariknya, SAJI tidak berhenti sekadar menghasilkan muzik video. Mereka mengajak orang ramai untuk turut menjadi sebahagian daripada kemeriahan ini melalui pelbagai aktiviti interaktif yang lebih segar dan dekat dengan jiwa masyarakat hari ini.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah cabaran tarian “Menyala Lagi Raya” di platform TikTok dan Instagram. Lebih menarik, cabaran ini tampil dengan konsep “trio”, di mana peserta digalakkan menari secara berkumpulan bertiga sama ada bersama keluarga, rakan sekerja mahupun sahabat rapat. Konsep ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi elemen kebersamaan yang menjadi tema utama kempen ini.
Bayangkan tiga sahabat menari riang di ruang tamu, adik-beradik bergelak ketawa mencuba langkah yang sama, atau mungkin ibu, ayah dan anak-anak mencipta memori baharu bersama – semuanya dirakam dan dikongsi kepada dunia. Di situlah magisnya cabaran ini, apabila ia bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang untuk mencipta kenangan.
Cabaran tarian ini berlangsung dari 18 Mac hingga 19 April 2026, dan untuk menyertainya, peserta hanya perlu memuat naik video tarian mengikut koreografi yang ditetapkan, tag akaun rasmi @sajimalaysia serta menggunakan tanda pagar #SAJIMenyalaLagiRaya dan #SAJIDanceChallenge.
Lebih mengujakan, hadiah yang ditawarkan juga cukup lumayan. Seramai 15 pemenang bertuah bakal membawa pulang ganjaran tunai lima pemenang tempat pertama menerima RM500 setiap seorang, diikuti lima pemenang tempat kedua dengan RM300 setiap seorang, dan lima lagi pemenang tempat ketiga menerima RM200 setiap seorang.
Selain itu, kempen ini turut diserikan dengan peraduan “Beli & Menang” yang menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM50,000. Antara ganjaran paling istimewa ialah peluang memenangi pakej Umrah untuk dua orang atau percutian setara, menjadikan sambutan raya tahun ini bukan sahaja meriah, tetapi juga penuh makna.

Semua inisiatif ini membuktikan bahawa SAJI bukan sekadar menghasilkan produk dapur, tetapi turut mencipta pengalaman menyeluruh yang menyentuh hati dan kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Sebagai jenama yang telah lebih dua dekad menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia, SAJI sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan sekadar berada di dapur, tetapi juga di hati masyarakat. Mereka memahami bahawa setiap hidangan yang disediakan bukan hanya untuk mengenyangkan, tetapi untuk menyatukan.
“Menyala Lagi Raya” akhirnya menjadi lebih daripada sekadar karya hiburan. Ia adalah cerminan kehidupan, himpunan rasa, dan jambatan yang menghubungkan kita dengan mereka yang kita sayangi.
Dalam setiap bait melodi dan setiap langkah tarian yang dikongsi, ada satu pesan yang terus bergema selagi ada ruang untuk memaafkan, selagi ada masa untuk bersama, semangat raya itu tidak akan pernah padam.
Dan apabila takbir bergema, lampu-lampu rumah mula menyala, serta pintu dibuka untuk menyambut tetamu, kita akan sedar… bahawa kebahagiaan itu sebenarnya sederhana.



