Masjid Terapung Yan dibuka penghujung April ini, tarikan pelancongan baharu di Kedah

Oleh Zihan Zari

YAN – Pembinaan Masjid Terapung Yan yang menelan kos sebanyak RM12.431 juta merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan selamat dan berkualiti kepada penduduk setempat, di samping berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di Kedah, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.

Beliau berkata pembinaan masjid unik itu yang terletak di atas laut dijangka menjadi mercu tanda baharu daerah Yan dan akan dibuka kepada orang ramai pada penghujung April ini serta mampu menampung kira-kira 700 jemaah pada satu-satu masa sehingga 1,200 orang termasuk di ruang luar masjid.

“Selepas tertangguh pembinaannya sejak 2017, kini kerja-kerja pembinaan berada di peringkat akhir siap sepenuhnya dengan kemajuan fizikal hanya berbaki kira-kira 1.4 peratus (%) sahaja.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek ini di bawah seliaan Pegawai Penguasa, Jurutera Daerah JKR Daerah Yan dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac ini, sebelum melalui proses penyerahan kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK),”katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi dan turun padang bagi meninjau status kemajuan projek menyiapkan baki kerja pembinaan Masjid Terapung di Kampung Ruat dekat sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah JKR Kedah, Ir. Mohd Fisal Ismail; Ketua Polis Daerah Yan, Supt. Mohamad Hamizi Abdullah; Jurutera Daerah Yan, Ir. Norashikin Haron; dan bekas Ahli Parlimen Jerai merangkap Ketua Umno Bahagian Jerai, Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Dr. Jamil Khir Hj. Baharom.

Ahmad berkata walaupun fungsi utama masjid adalah sebagai tempat ibadah, keunikan reka bentuk dan lokasinya boleh menjadi daya tarikan tambahan kepada pelancong memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.

Beliau turut mencadangkan di sekeliling kawasan masjid boleh dimanfaatkan sebagai lokasi tarikan pelancongan termasuk penyediaan platform bergambar untuk pengunjung menikmati pemandangan laut indah terutama pada waktu matahari terbenam.

Terdahulu, beliau berkata kontraktor awal bagi projek ini telah diberikan notis penamatan kontrak pada 15 Mac 2021 berikutan isu pelaksanaan projek dan ditender semula.

Katanya, proses pelantikan kontraktor baharu dan kesinambungan projek diteruskan melalui pelantikan kontraktor penyiap, Maju Merge Resources Sdn. Bhd. telah mengambil alih tapak projek pada 11 Julai 2023 dan berjaya dipulihkan mengikut jadual baharu.

“Sehingga 25 Februari 2026, projek ini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 98.6 %dan dilaksanakan secara kaedah konvensional dalaman dengan pemantauan rapi oleh agensi pelaksana bagi memastikan kualiti kerja serta pematuhan kepada spesifikasi yang ditetapkan sentiasa terjamin,”katanya lagi.

Ujarnya, skop utama projek merangkumi penyiapan baki kerja pembinaan bangunan masjid, struktur sampingan seperti gerbang (arch), menara tangki air, menara azan (minaret), pembinaan Compact Sub Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta Small Sewage Treatment System (SSTS) dan kerja-kerja luaran.

“Projek ini turut melibatkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal serta pembinaannya menggunakan kaedah cerucuk sedalam 30 meter bagi memastikan struktur kukuh memandangkan ia dibina di atas laut, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap dengan siapnya Masjid Terapung ini kelak, ia bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah sebagai simbol pembangunan dan kesejahteraan komuniti daerah ini.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat