KUALA LUMPUR, – Sekurang-kurangnya lapan warga Israel dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam beberapa bulan kebelakangan ini ketika dalam perjalanan ke destinasi lain di Asia, menurut laporan portal berita Israel, Ynet.
Laporan itu menyebut, sebahagian daripada mereka memiliki dua pasport termasuk pasport asing, manakala yang lain hanya menggunakan pasport Israel.
Kesemua individu terbabit sama ada dalam perjalanan ke Malaysia atau sekadar transit ke negara lain seperti Filipina.
Menurut Ynet, dalam satu insiden terbaharu, empat warga Israel ditahan ketika transit menuju ke Filipina, termasuk dua wanita yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Mereka mendakwa telah mendapatkan maklumat daripada chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menyatakan transit melalui Kuala Lumpur adalah selamat dalam perjalanan dari Thailand ke Filipina. Bagaimanapun, kedua-dua wanita tersebut akhirnya memilih untuk kembali ke Thailand.
Dalam kes berasingan, dua lelaki Israel turut dilaporkan ditahan ketika dalam perjalanan dari Kemboja ke Filipina melalui Malaysia. Mereka ditahan selama dua hari sebelum dihantar pulang ke Kemboja.
Portal itu turut melaporkan tempoh penahanan kebiasaannya antara 24 hingga 48 jam, namun boleh berlanjutan lebih lama sekiranya negara lain enggan menerima kemasukan semula individu yang dihantar pulang.
Dalam beberapa kes, warga Israel berkenaan hanya dibenarkan meneruskan perjalanan selepas campur tangan Kedutaan Israel di Singapura.
Duta Israel ke Singapura, Eliyahu Vered Hazan, seperti dipetik Ynet, menggesa rakyat Israel supaya tidak melakukan perjalanan ke Malaysia, termasuk untuk tujuan transit.
Beliau mendakwa penahanan tersebut berlaku semata-mata berdasarkan kewarganegaraan dan menyifatkan situasi itu semakin kerap sejak 7 Oktober lalu.
“Apabila nyawa menjadi taruhan, kita tidak boleh menganggap semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya, sambil merujuk kepada amaran perjalanan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara Israel.
Beliau turut mendakwa penahanan bersasar terhadap warga Israel kini menjadi kebiasaan, menyebabkan kelewatan panjang serta kos kewangan yang tinggi kepada pelancong.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pemegang pasport negara itu secara amnya tidak dibenarkan memasuki Malaysia tanpa kebenaran khas. Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung insiden yang dilaporkan itu. – SuaraTV



