Oleh Zihan Zari
IPOH – Seramai 29 pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) dari pelbagai jabatan pengajian telah menerima sumbangan kewangan daripada Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
melalui program Infaq Ramadan 1446 Hijrah di Makmal Sains Asasi Teknologi Kejuruteraan PUO, dekat sini baru-baru ini.
PUO dalam kenyataannya berkata IKRAM telah menyumbangkan sebanyak RM2900 sebagai usaha untuk membantu menampung perbelanjaan para pelajar khususnya dalam sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Yang Dipertua IKRAM Ipoh, Dr. Ir. Hj. Dzulfida A Razak telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM100 seorang kepada penerima yang terpilih.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua IKRAM Ipoh, Ir. Megat Shariffudin Ibrahim, dan Ahli Jawatankuasa Wanita IKRAM Ipoh.
Dalam pada itu, Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah turut menyampaikan sumbangan kewangan tambahan dari Pertubuhan Amal Kebajikan Insan (PAKis) serta hasil usaha sama pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) kepada pelajar asnaf PUO.
“Sumbangan seumpama ini merupakan tahun ketiga yang telah disampaikan oleh pihak IKRAM kepada pelajar PUO sejak pemberian pertamanya pada 2023,”kata kenyataan itu.
“IKRAM diperbadankan pada 31 Oktober 2011 mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) di bawah Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan beroperasi secara rasminya pada 1 Januari 2019, ”katanya.
“Pertubuhan ini dahulunya lebih dikenali sebagai i-Bantu senantiasa peka dan prihatin kepada golongan miskin berkeperluan, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal, anak yatim, mangsa bencana dan sebagainya, ”katanya lagi. -SUARA.TV