KUALA LUMPUR- Guna dalil agama bagi tujuan menolak cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun disifatkan kurang tepat.
Ini terkait kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggunakan dalil agama bagi mengulas had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, hujah Hadi lebih menjurus kepada konsep kepimpinan dalam Islam dan terdapat cara lain yang lebih sesuai untuk membantah cadangan itu tanpa menggunakan dalil agama.
“Memang betul usia bukan faktor utama, tetapi untuk menjadi pemimpin, bukan usia sahaja yang penting. Pengetahuan, kecerdasan berfikir, dan strategi juga perlu ada.
“Sebab itu, menggunakan hujah agama semata-mata tidak cukup untuk melayakkan seseorang menjadi pemimpin,” lapor Utusan di Perlis pada Jumaat.
Beliau mengulas kenyataan Hadi yang menolak cadangan DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dengan alasan ia membelakangi ketetapan Allah SWT.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mencadangkan, agar kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum lalu.
Fathul Bari menegaskan bahawa isu ini sepatutnya dibincangkan di Parlimen, bukan dengan menuduh pihak yang menolak cadangan ini sebagai membelakangi Islam.
Secara peribadi, beliau berpandangan tiada keperluan mengehadkan tempoh Perdana Menteri, selagi pemimpin masih mampu mentadbir dengan baik.
“Kalau sudah tidak berkemampuan, maka berhentilah.
“Itu lebih adil untuk rakyat,” katanya.