Syed Saddiq rayu PM pertimbang semula langkah hentikan pelepasan cukai pencarum SSPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu akan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan semula langkah menghentikan pelepasan cukai individu ke atas pencarum Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Beliau malah menyeru agar kerajaan memberi semula pelepasan cukai individu untuk pencarum SSPN kerana perkara ini akan menggalakkan pelaburan untuk pendidikan anak-anak.

Syed Saddiq menyifatkan langkah kerajaan menghentikan pelepasan cukai individu ke atas pencarum SSPN sebagai kurang tepat.

Menurutnya pelepasan cukai individu sehingga RM8,000 ini bukan satu jumlah yang kecil.

Bahkan katanya, dengan menghentikan pelepasan cukai ini secara tidak langsung ia akan membantut usaha untuk menggalakkan golongan pertengahan untuk melabur dalam pendidikan anak-anak mereka.

“Semalam melalui kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim telah mengesahkan bahawa melalui Taksiran 2023, pencarum SSPN tidak layak untuk menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000. Saya kurang bersetuju dengan langkah yang dilakukan ini.

“Simpanan SSPN merupakan simpanan untuk masa depan generasi kita. Seperti yang kita sedia maklum, kos untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi tidak murah dan bukan semua orang berkemampuan.

“Skim SSPN ini merupakan satu inisiatif untuk memastikan rakyat kita kebanyakannya mampu melanjutkan pelajaran,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah Syed Saddiq, di peringkat Parlimen Muar pula, Pusat Khidmat Parlimen Muar sebelum ini telah mengadakan satu kerjasama erat dengan pihak SSPN untuk membuka akaun SSPN dengan ‘matching grant’ untuk anak-anak Muar dari keluarga yang kurang berkemampuan dalam usaha membasmi kemiskinan dan keciciran pelajaran.

Jelas beliau, sebanyak RM322,000 telah diperuntukkan untuk 400 orang pelajar.

“Kerjasama erat ini dibuat atas dasar percaya yang pendidikan adalah satu jalan utama untuk membasmi kemiskinan dan memacu keadilan sosial,” katanya.

Semalam Steven mengumumkan bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat