KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak wajar mempersoalkan tindakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang merayu undi rakyat kerana sudah menjadi sudah lumrah seorang pemimpin berbuat demikian.
“Mungkin Bung Moktar yakin menang, jadi rakyat tidak perlu lagi mendengar rayuan mereka. Sebab yakin bahawa mereka akan mendapat undi rakyat, demikian sindiran Armizan terhadap kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar yang mengkritik rayuan Ketua Menteri Sabah.
Hajiji sebelum ini merayu agar rakyat memberi peluang semula kepada kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
“Bagi saya dia merayu bukan setakat merayu begitu (sembang kosong). Kalau dalam sesi amanat bersama penjawat awam, Hajiji membentangkan pencapaian dan hala tuju kerajaan.
“Saya tak tahu, mungkin orang yang bercakap itu, dia tidak perlu merayu, baguslah. Kita tengoklah keputusan (PRN) nanti,” lapor Utusan di Papar.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS berkata, tiada masalah untuk mana-mana pemimpin merayu kepada rakyat, tetapi kena tunjukkan pencapaian yang telah dicapai.
“Selainnya, biar rakyat mempertimbangkan sama ada wajar atau tidak untuk mereka memberi sokongan,” katanya.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, beliau tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenai kerjasama menjelang PRN Sabah.