Shah Alam: Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini menetapkan tarikh untuk sebutan kedua kes tuntutan hak penjagaan anak di antara pelakon, Adam Shahz dan Fatin Afeefa pada 17 April ini.
Penetapan itu susulan daripada bantahan yang dibuat Fatin terhadap pindaan Adam, yang mana memohon agar dia diberikan hak untuk lawatan, bersama dan bermalam dengan anak mereka, Ivy Herra Sophia, 7.
Peguam yang mewakili Adam, Liyana Sihar berkata, anak guamnya menuntut haknya dan ingin memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak.
“Dalam tuntutan lalu, anak guam memfailkan tuntutan untuk mendapatkan hak penjagaan penuh. Selepas perbincangan, kami percaya anak guam boleh bertolak ansur untuk berikan hak jagaan itu kepada bekas isteri.
“Jadi, anak guam memohon untuk hak lawatan, bersama dan bermalam. Seperti yang sedia maklum, apabila seseorang itu mendapat hak jagaan anak, pihak satu lagi akan mendapat hak untuk melawat, bersama dan bermalam.
“Kami nak kedua-dua pihak menang bersama. Namun, perkara ini dibantah. Kami percaya anak guam ada hak itu dan akan menuntutnya,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Adam ketika ditemui berkata, dia tidak bertemu dengan anaknya sejak Oktober lalu dan disekat daripada berhubung.
“Saya harap semuanya dipermudahkan untuk kedua-dua pihak. Mungkin ada terma yang pihak sana tidak bersetuju, jadi kita akan tunggu sebutan kedua.
“Saya sudah tidak bertemu dengan anak sejak empat bulan lalu. Saya disekat oleh keluarga pihak sana termasuklah bekas isteri. Saya sendiri pun tak tahu di mana anak saya sebab saya tak dapat berhubung dengannya.
“Saya cuba juga cari di media sosial, tapi dia seolah-olah disembunyikan. Ketika majlis sulh, saya cuma diberitahu bahawa anak diletakkan di sekolah berasrama penuh, tapi tidak diberitahu secara terperinci,” katanya.
Dalam pada itu, Fatin yang diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman enggan memberikan sebarang komen.
“Tak ada apa yang boleh saya katakan. Kita dah masuk ke mahkamah, jadi kita akan mengikut proses yang sepatutnya. Saya tak mahu berikan sebarang kenyataan yang akan memakan diri dan menghormati pihak mahkamah,” katanya yang turut ditemani suami, Aliff Awang.
Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 2013, namun bercerai pada 2017.
Harian Metro