KUALA LUMPUR – MCA Johor memohon maaf khususnya kepada seluruh umat Islam susulan perkongsian status pihak lain di Facebook MCA Johor pada 26 Januari 2025 yang dilakukan tanpa sengaja oleh salah seorang pentadbir (admin) Facebook, yang tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama MCA Johor.
MCA Johor dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pentadbir berkenaan telah lama bersara dari pejabat MCA Johor itu mengakui tersilap berkongsi status daripada pihak lain yang bukan ditulis oleh MCA Johor atau mana-mana pemimpin MCA.
“Pentadbir tersebut juga telah pun dikeluarkan daripada memiliki akses Facebook MCA Johor dan kini ia dikendalikan oleh pentadbir baharu sahaja.
“Status page yang menimbulkan kontrovesi itu juga telah pun diturunkan serta-merta setelah aduan-aduan diterima semalam.
“Sejujurnya kami di MCA Johor tidak pernah terlintas dan tiada niat untuk mengguris hati, jauh sekali menghina atau memperlekehkan agama Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.
“Sekali lagi, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku. MCA Johor akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” ujar sayap Barisan Nasional (BN) Johor itu lagi.
Terdahulu, MCA Johor kelmarin menerusi akaun Facebooknya memuat naik status menyatakan kerajaan sudah menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin, selain peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bagi tujuan percetakan al-Quran, namun untuk tol percuma Tahun Baru Cina, tidak diberikan.
Perbandingan itu, menurut pelbagai pihak menimbulkan sangkaan jahat dan membina persepsi salah terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin.