KUALA PILAH – Menteri Komunikasi, Encik Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Garis Panduan Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur Telekomunikasi [6-Way Multi Operator Core Network (MOCN)] anjuran Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak industri telekomunikasi.
MOCN bertujuan menetapkan prinsip, proses dan panduan bagi pelaksanaan Perkongsian Infrastruktur Rangkaian oleh Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) bagi menggalakkan kerjasama, mengoptimumkan sumber serta meningkatkan
kesalinghubungan, khususnya di tujuh kawasan yang mendapat liputan kurang memuaskan iaitu di lebuh raya, universiti awam, hospital, kawasan acara, kawasan pelancongan, stadium, serta penempatan tentera dan polis.
Tertumpu kepada dua metodologi utama, iaitu Perkongsian Infrastruktur Pasif yang melibatkan perkongsian komponen fizikal seperti menara dan tiang, tanpa melibatkan komponen elektronik atau rangkaian.
Manakala di bawah Perkongsian Infrastruktur Aktif pula merujuk kepada perkongsian komponen elektronik dan pemprosesan isyarat dalam rangkaian, yang secara aktif memproses dan menghantar isyarat serta membolehkan penggunaan sumber rangkaian yang lebih cekap.
Garis panduan ini menyediakan penyelesaian praktikal untuk membantu MNO memaksimumkan manfaat perkongsian infrastruktur demi kepentingan rakyat.
Pendekatan bersepadu ini akan meningkatkan kecekapan operasi MNO dan mempercepat penyampaian perkhidmatan 4G berkualiti tinggi.