Ayda bukan eksploitasi anak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR : Selepas buah hati pengarang jantung, Ana Nayla menginjak usia setahun, September lalu, barulah Ayda Jebat, 32, terbuka mengetengahkan anaknya itu untuk menjayakan projek iklan atau komersial.

Namun, Ayda atau nama sebenar, Nur Suhada Jebat dan suami, Nabil Mahir, tidak mahu dituduh mengeksploitasi anak demi kepentingan diri dan mendapatkan wang.

Berikutan itu, Ayda dan Nabil memilih tawaran yang sesuai, misalnya, barangan keperluan bayi yang menampilkan Ana sebagai model.

“Baru-baru ini, anak saya, buat kali pertama menjayakan penggambaran bersama sebuah syarikat produksi besar.

“Kami dilantik sebagai duta produk untuk sebuah jenama barangan bayi.

“Alhamdulillah, Ana sangat baik dan mendengar cakap. Suruh apa pun dia buat.

“Misalnya suruh dia tutup mata buat-buat tidur, dia buat. Dia berseronok dan tidak menangis.

“Namun, kadang-kadang kasihan tengok dia ‘shooting’. Jadi, kalau hendak kata saya terlalu terbuka, saya tengok jadual dan masa.

 

Ayda dan suaminya, Nabil tidak mahu dituduh mengeksploitasi anak demi kepentingan diri dan mendapatkan wang. Foto IG Ayda Jebat
Ayda dan suaminya, Nabil tidak mahu dituduh mengeksploitasi anak demi kepentingan diri dan mendapatkan wang. Foto IG Ayda Jebat

 

“Buat masa ini, saya elak jadual padat sekiranya penggambaran membabitkan anak,” katanya.

Ayda sedia menerima komen ‘pedas’ daripada orang ramai andai ada yang membangkitkan kewajaran bayi berusia setahun ‘bekerja’ dan mendapatkan wang.

“Saya tahu nanti orang cakap anak kecil lagi sudah gunakan untuk mencari duit.

“Jadi, setakat ini, Ana baru terbabit dengan dua jenama produk berkaitan bayi dan kanak-kanak.

“Kami elak tawaran kerana mahu mendapatkan wang semata-mata. Dalam hal ini, kualiti produk juga dititikberatkan.

“Kami tak mahu orang kata, asal ada, terus ambil. Kami juga tidak mahu anak terlalu penat dengan kerja pada usia bayi,” katanya.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan dikurniakan Ana yang dilahirkan pada 21 September 2021.

Dalam perkembangan lain, Ayda yang popular dengan lagu Parah Parah merancang menghasilkan single baharu selepas sudah lama tidak kembali ke studio rakaman.

“Saya sudah merakamkan lagu tetapi selepas berbincang, pihak pengurusan meminta saya menulis lagu baharu yang sesuai dengan konsep saya sebelum ini.

“Jadi, mungkin dalam masa dua bulan, kita akan lancarkan lagu yang berkonsep lama.

“Insya-Allah, single itu akan dipasarkan tahun ini. Sebenarnya, banyak lagu sudah dirakam termasuk yang dihasilkan komposer dari Kanada, tetapi, tidak tahu bila hendak dilancarkan,” katanya yang mengaku sudah empat tahun menyimpan semua karya itu.

Ayda yang bakal beraksi di pentas separuh akhir program realiti, Famili Duo terbitan TV3, malam esok, bersama adik, Fyna, juga rindu kembali ke set penggambaran.

Andai diberi peluang, Ayda berhasrat membintangi filem selepas kali terakhir tampil bersama Shaheizy Sam dan Farid Kamil dalam filem Pinjamkan Hatiku.

“Saya sudah lama tak berlakon, jadi saya mahu menjayakan projek filem.

“Kalau berlakon drama, penggambaran mengambil masa, nanti saya kena tinggalkan anak lama.

“Kalau berlakon filem, saya ada masa untuk keluarga,” katanya yang ditemui pada sidang media Salam Taiwan 2023 di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas pelantikannya sebagai duta kempen Salam Taiwan 2023, Ayda berkata, projek itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong Muslim memilih Taiwan sebagai destinasi pelancongan.

“Sebelum ini, saya tidak tahu apa yang menarik mengenai Taiwan. Jadi, sebelum berangkat ke sana, tahun lalu, saya banyak kaji apa yang menarik di Taiwan.

“Apabila tiba di sana, saya terkedu kerana Taiwan terlampau indah, tidak seperti yang dibayangkan.

“Selepas menaiki kapal terbang selama lima jam, saya terpegun dengan kebersihan dan kecanggihan hotel di sana.

“Bayangkan, hotel mesra Muslim mengasingkan pinggan dan cawan untuk pelanggan Muslim. Kita juga tidak perlu risau bawa botol air kerana tandas bersih dan selesa digunakan.

“Makanan halal mudah ditemui dan semuanya boleh ditelan tekak. Ini suatu pengalaman menarik buat saya,” katanya yang akan membawa Ana berkunjung ke Taiwan sekali lagi, Mac ini.

Ayda berkata, hampir 300 restoran dan hotel di Taiwan sudah memperoleh sijil halal.

Malah, mengikut laporan CrescentRating – Global Muslim Travel Index (GMTI) bagi 2022 oleh MasterCard, Taiwan berada di tempat kedua bagi kategori destinasi pelancongan mesra Muslim terbaik dalam kalangan negara bukan Islam di seluruh dunia.

Atas faktor itu, Biro Pelancongan Taiwan melancarkan projek Salam Taiwan 2023 iaitu dengan meneruskan konsep berteraskan Taiwan sebagai negara mesra pelancong Muslim.

Berita Harian

Previous article
Next article
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat