Tak perlu ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK sokong parti politik – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pihak berkuasa agama tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah dan ahli jawatankuasa (AJK) yang menyokong mana-mana parti politik pada PRU15.

“Saya telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.

“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik,” kata Muhyiddin dalam kenyataan pada Isnin.

Presiden Bersatu itu juga menegaskan supaya pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.

“Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 yang lalu. Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik. Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat