SPRM silakan siasat, PKR Melaka teguh di belakang Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR – PKR Melaka menegaskan pendirian teguh bersama Ketua PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sekali gus mempersilakan siasatan bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka Mohd Khuzaire Mohd Kamal berkata, mereka mengambil maklum mengenai dakwaan yang tular melibatkan Shamsul Iskandar.

Namun katanya, bagi mengelakkan kekeliruan dan persepsi tidak tepat, MPN Melaka tampil untuk menjelaskan pendirian rasmi.

“Datuk Seri Shamsul Iskandar telah menyatakan kesediaan penuh untuk disiasat oleh SPRM. Beliau secara terbuka menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Hujah lain, tiada bukti yang menunjukkan wujudnya elemen rasuah. Setakat ini, tidak terdapat sebarang dokumen, surat sokongan atau bukti pertukaran manfaat yang boleh mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kuasa. Dakwaan yang tersebar hanyalah bersifat andaian dan persepsi.

“MPN Melaka menyokong tindakan SPRM menjalankan siasatan bebas. Sebagai institusi profesional, SPRM wajar menyiasat setiap dakwaan. Kami yakin siasatan ini akan membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, Khuzaire menegaskan persepsi awam tidak boleh menggantikan fakta.

Justeru tegas beliau, MPN Melaka menasihati semua pihak agar tidak membuat penilaian awal atau menyebarkan kenyataan pramatang sebelum siasatan selesai dilakukan.

“MPN Melaka kekal teguh bersama kepimpinan Shamsul Iskandar, kami berpegang teguh bersama beliau dalam memimpin MPN Melaka dan yakin terhadap integriti, prinsip serta komitmen beliau dalam menjalankan amanah parti,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat