TAWAU – Merotai dan seluruh Sabah mempunyai potensi besar untuk maju jika diurus dengan adil, telus dan saling bekerjasama.
Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Merotai Datuk Ruji Ubi menghargai kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kawasan itu sebagai penguat semangat.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kesudian hadir ke Merotai. Kehadiran ini amat bermakna buat rakyat di sini dan menjadi penguat semangat untuk kami terus melangkah ke hadapan.
“Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri mengingatkan bahawa masa depan negara tidak boleh dibina melalui politik kebencian atau perpecahan, sebaliknya mesti diasaskan pada perpaduan, integriti dan tadbir urus yang baik.
“Keamanan serta keharmonian antara pelbagai kaum dan etnik, khususnya di Sabah, adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan.
“Pesanan ini amat bererti untuk Merotai dan seluruh Sabah bahawa kita mempunyai potensi besar untuk maju jika diurus dengan adil, telus dan saling bekerjasama,” katanya.
Ruji berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan dengan memilih beliau sebagai calon, serta kepada semua yang hadir dan bertungkus-lumus menjayakan Fiesta Demi Merotai – Harapan Urang Sabah di Dewan Terbuka Merotai.
“Semoga pertemuan ini memberi kebaikan, membuka laluan kepada pembangunan yang adil, dan menguatkan lagi semangat perpaduan demi masa depan Merotai dan Sabah seluruhnya,” ujar beliau.



