KOTA KINABALU – Lagu “Hoi hoi ya hoi.. Siapa sokong penyamun?” kini nampaknya sudah berbalik kepada Pakatan Harapan (PH) apabila mereka kini bertukar menjadi penyamun dakwa Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid.
Menurut beliau, skandal yang terdedah ini mengesahkan bahawa ramai pengundi yang mengundi PH kerana mengharapkan satu kerajaan yang bersih, seperti mana yang mereka sorak-sorakkan dengan lagu “Hoi Hoi ya hoi siapa sokong penyamun.
“Tapi nampaknya ramai yang menyedari bahawa mereka juga laju bertukar untuk menjadi penyamun.
“Namun, soal yang lebih penting sama ada pada hari Khamis dan Jumaat ini, betapa cepatnya perkara ini (pendedahan skandal rasuah) boleh turun ke bawah (kepada pengundi Sabah).
“Saya yakin dengan peletakan jawatan (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin), dengan pendedahan dan sebagainya, dan sekarang ini dengan dunia media sosial dan sebaran-sebaran, ramai pengundi dah tahu dan Insya-Allah ramai juga rakyat yang sekiranya mahu mengundi Pakatan Harapan sebelum ini, selepas pendedahan ini, akan mengubah fikiran,” kata Harris Idaham kepada SuaraTV ketika ditemui malam tadi.
Sementara itu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, dengan terdedahnya skandal melibatkan pimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan maka, ini adalah titik tolak kepada rakyat negeri Sabah untuk memikirkan dengan serius masa depan negeri Sabah.
“Kalau kita tengok, skandal ini adalah skandal yang besar dan juga membimbangkan sebab ia membabitkan pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan Negeri Sabah yang sebelum ini, iaitu GRS.
“Dan kalau kata benarlah dakwaan yang dibuat dalam pendedahan-pendedahan ini bermaksud nasib rakyat Negeri Sabah perlu ditentukan oleh pemimpin-pemimpin yang baru yang tidak ada ‘baggage’ dan ada kaitan dengan skandal ini.
“Jadi tidak boleh mereka mengundi parti-parti yang berada dalam kerajaan, baik GRS, baik PH, baik BN.
“Mereka perlu pilih parti-parti yang selain daripada ini sebab jika tidak rantaian dan kegagalan ini akan berterusan di Negeri Sabah,” katanya.
Cuma kata Tun Faisal, apabila pendedahan ini timbul, ia membawa kepada cerita baru bahawa sudah ada seolah-olah macam kaitan dalam video-video berkaitan skandal rasuah itu dengan pejabat Perdana Menteri, dan Ketua Pengawal SPRM.
“Ini sudah jadi benda yang lebih besar. Jadi mungkin tak ramai di Negeri Sabah yang tahu.
“Melalui media sosial ia dah sampai dan kita kena sedarkan rakyat Negeri Sabah bahawa kalau inilah kaitannya, maka hal ini menakutkan bagi Negeri Sabah.
“Mereka kena cari pemimpin yang betul-betul bersih dan pemimpin-pemimpin yang tidak ada baggage yang boleh menjadi masalah di masa depan. Kena cari pemimpin bersih,” seru Tun Faisal.



