Projek pelabuhan, jambatan darat Thailand beri manfaat kepada Malaysia – PM

- Advertisement -

BUKIT KAYU HITAM – Rancangan Thailand untuk membina pelabuhan serta jambatan darat yang akan memintas laluan perkapalan di Selat Melaka sekali gus memberi manfaat kepada Malaysia khususnya di kawasan Utara Semenanjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan Malaysia menerima manfaat dan terlibat dalam projek tersebut.

Beliau berkata Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin turut menyuarakan pandangan serta memberi jaminan untuk melibatkan Malaysia dalam projek itu.

“Jambatan darat itu tentunya masih di peringkat awal, tapi dalam perbincangan (dengan Srettha) memang akan libatkan Malaysia dan akan memberi manfaat kepada Malaysia terutama utara Semenanjung.

“Bagi kita ada faedahnya (projek itu) dan kita akan memanfaatkan kemudahan di situ dan sama ada kita menyertai atau ada ekuiti itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Tetapi semangat yang ditunjukkan Perdana Menteri Thailand, dia kata ‘kami akan memastikan Malaysia akan mendapat manfaat dan terlibat dalam projek’,” kata Anwar pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Sadao, Wilayah Songkhla, Thailand dekat sini hari ini.

Pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco baru-baru ini, Srettha dilaporkan membangkitkan semula idea projek itu yang melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.

Projek laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan 15 peratus antara Teluk Siam dan Laut Andaman.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan Srettha sebagai sangat komited untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit melibatkan kedua-dua negara selain mahu keputusan segera dicapai yang memberi manfaat kepada Thailand dan Malaysia.

“Dalam perbincangan secara terperinci dengan Srettha beliau berkata Phuket umpamanya dapat manfaat sangat baik (dalam pelancongan) dan beliau mengarah Menteri Pelancongan Thailand untuk mengagih manfaat itu kepada Langkawi agar ada sinergi antara dua negara.

“Sikap itu jarang berlaku dalam perhubungan dua negara, jadi saya menyatakan penghargaan kerana sikap dia begitu dan ini bukan sekali, dalam beberapa perjumpaan sebelum ini di Putrajaya, di San Francisco dan sebelum itu di New York saya tengok dia konsisten.

“Tidak boleh ada hubungan dua hala yang hanya manfaat kepada satu negara dan kurang kepada negara lain. Jadi sebab itu di mana kita ada manfaat kita kongsi dengan dia, dan dia dapat manfaat dalam pelancongan dia ingat kepada kita,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan kerja sehari ke Sadao, Wilayah Songkhla dekat sini dengan fokus untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan Srettha.

Lawatan itu yang merupakan atas jemputan Srettha, antara lain bertujuan bagi melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Anwar yang diiringi beberapa menteri, timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha sebelum kedua-dua pemimpin kemudian melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat