KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat mengembalikan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kepada Kementerian Komunikasi dan Digital walaupun terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, ini kerana jabatan itu baru sahaja berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2021.
“Keputusan memindahkan JKOM ke JPM dibuat 2021 ketika Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memegang jawatan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) adalah Menteri Komunikasi.
“Setakat ini pendirian kerajaan perpaduan adalah JKOM masih kekal bawah JPM, sekiranya pada masa akan datang Perdana Menteri berhasrat pindah balik JKOM ke Kementerian Komunukasi, kita akan ikut arahan Perdana Menteri,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada JKOM wajar diletakkan semula ke Kementerian Komunikasi bagi mengelakkan pembaziran wang, pertindihan tugas dan meningkatkan tatakelola.