KUALA LUMPUR – Perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat (AS) pada Ahad menyaksikan bukan sahaja sorak yang tidak menang, bahkan kampung turut digadai.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, ia merupakan satu persetujuan perjanjian ‘penjajahan baru’ dengan AS dengan bersembunyi di sebalik slogan “kerjasama ekonomi.” Dokumen rasmi yang diterbitkan oleh White House sendiri di pautan menunjukkan bahawa Agreement on Reciprocal Trade ini bukan perjanjian dua hala yang seimbang, tetapi langkah menyerahkan dasar, sumber dan kuasa kawal selia Malaysia ke tangan Washington.
“Adakah ia merupakan ufti era moden kerajaan Malaysia untuk Amerika?
“Dalam perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran istimewa kepada eksport Amerika dalam sektor industri dan pertanian, termasuk bahan kimia, mesin dan peralatan elektrik, logam, kenderaan penumpang, hasil tenusu, produk hortikultur, ayam, produk proses, minuman, daging khinzir, beras dan bahan bakar ethanol.
“Sebagai balasan, AS hanya komited mengekalkan tarif timbal balik pada 19 peratus seperti yang dinyatakan dalam Executive Order 14257 dan Annex III Executive Order 14346, serta mungkin mempertimbangkan kadar sifar bagi beberapa produk terpilih.
“Malaysia membuka pintu seluas-luasnya untuk produk AS, manakala AS kekal dengan janji longgar yang bergantung pada budi bicara mereka.
“Lebih membimbangkan, Malaysia turut menandatangani komitmen untuk melonggarkan sekatan bukan tarif terhadap barangan AS. Ini termasuk menerima kenderaan buatan AS yang mengikut piawaian keselamatan dan pelepasan gas mereka sendiri, memudahkan lesen import bagi produk keluli dan paip, serta “menyederhanakan keperluan halal” untuk kosmetik, farmaseutikal dan peranti perubatan dari Amerika. Ia juga melibatkan pelonggaran keperluan halal dan pendaftaran fasiliti untuk produk makanan dan pertanian.
“Tindakan ini jelas menggugat integriti sistem kawal selia tempatan dan pensijilan halal negara yang menjadi kebanggaan dunia Islam,” selar Fadhli dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, apabila kita mengkritik langkah mengundang ‘si penjenayah perang’ itu ke Malaysia, diungkit semula ucapan tahniah beliau ketika Trump menang pilihan raya.
Hakikatnya kata Fadhli ucapan itu wajib dibaca dengan perenggan berikutnya iaitu harapan agar Trump melaksanakan janjinya memastikan keamanan di Gaza sebagaimana kempennya.
“Jangan menjadi syaitan bermata sebelah menyebelahi rejim Zionis sahaja. Namun sayangnya sekali lagi, Trump tidaklah berbeza berbanding Presiden-presiden sebelumnya, bahkan lebih teruk tahap kesombongannya,” tempelak beliau.
Menyambung kritikannya Fadhli berkata, dalam sektor makanan dan pertanian, Malaysia turut bersetuju menerima sijil yang dipersetujui pada masa ini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pengawalseliaan AS.
Ujarnya, ini bermakna jika produk itu telah disahkan oleh agensi di AS, Malaysia perlu menerimanya tanpa melalui semakan semula yang penuh oleh agensi tempatan.
Katanya, keputusan ini memperkecilkan peranan NPRA, MDA dan JAKIM dalam menjamin keselamatan pengguna serta pematuhan syariah di negara ini.
“Lebih parah, Malaysia juga berjanji tidak akan mengharam atau mengenakan kuota eksport terhadap bahan nadir bumi dan mineral kritikal ke AS. Malah, kerajaan bersetuju mempercepat pembangunan sektor ini bersama syarikat-syarikat AS, termasuk memberi lesen operasi lanjutan dan memastikan tiada sekatan ke atas penjualan magnet nadir bumi kepada syarikat AS. Dengan kata lain, sumber strategik negara kini diikat untuk memenuhi keperluan industri AS, bukan keperluan nasional.
“Manakala dalam bidang digital, Malaysia menandatangani komitmen yang jelas menguntungkan syarikat teknologi AS. Negara kita bersetuju menahan diri daripada mengenakan cukai perkhidmatan digital (DST) yang mendiskriminasi syarikat AS, tidak akan memaksa platform sosial dan penyedia awan mereka menyumbang kepada dana tempatan, serta memastikan pemindahan data rentas sempadan melalui “trusted borders” dengan perlindungan sewajarnya.
“Malaysia juga bersetuju menyokong moratorium kekal di WTO terhadap duti kastam atas transmisi elektronik dan menghapuskan sekatan penyiaran terestrial terhadap kandungan AS. Ini bermakna ruang digital dan media negara semakin terbuka kepada pengaruh luar tanpa pengimbang yang jelas.
“AS pula hanya berjanji akan “mempertimbangkan kesan perjanjian ini terhadap keselamatan negara” apabila melaksanakan tindakan perdagangan di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962. Ini memberikan kuasa sepenuhnya kepada Washington untuk mentafsir kepentingan mereka atas nama keselamatan nasional. Dengan kata lain, Malaysia menyerahkan hak kawalan tetapi tidak menerima jaminan yang sama,” kata beliau lanjut.
Fadhli menambah, senarai transaksi komersial yang diumumkan hanya mengesahkan ketidakseimbangan ini.
“Malaysia akan membeli 30 pesawat dengan pilihan tambahan 30 lagi, membuat pembelian semikonduktor, komponen aeroangkasa dan peralatan pusat data bernilai USD150 bilion, membeli sehingga 5 juta tan LNG setahun dengan nilai USD3.4 bilion setahun, serta membeli arang batu dan produk telekomunikasi bernilai USD204.10 juta.
“Malaysia juga akan melabur USD70 bilion dana modal di Amerika Syarikat. Jelas bahawa Malaysia bertindak sebagai pembeli dan pelabur ke luar negara, sementara AS menjadi penerima keuntungan sebenar.
“Lebih membimbangkan lagi, perjanjian ini turut mengandungi komitmen untuk memperkukuh “kerjasama keselamatan ekonomi dan nasional” dengan AS.
“Di sebalik bahasa diplomatik yang lembut, ia membawa maksud bahawa Malaysia perlu menyesuaikan dasar perdagangan dan sekuriti dengan kerangka geopolitik Washington. Jika AS menganggap sesuatu tindakan menjejaskan keselamatan ekonominya, Malaysia berisiko terpaksa tunduk di bawah tafsiran itu.
“Turut dimasukkan dalam perjanjian ini ialah rundingan antara Jabatan Perbendaharaan AS dan Bank Negara Malaysia untuk memuktamadkan persefahaman dasar mata wang, yang membuka ruang kepada pengawasan luar terhadap dasar kewangan negara atas alasan “hubungan ekonomi yang adil.”
“Kesemua fakta dan angka ini datang daripada kenyataan rasmi White House sendiri. Tidak ada ruang lagi untuk menafikan bahawa kerajaan Madani telah menandatangani satu perjanjian yang berat sebelah dan berpotensi menggugat kedaulatan negara. Perjanjian ini meletakkan Malaysia sebagai pelaksana kepada kepentingan AS— bukan sebagai rakan yang setara.
“Walau bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijemput naik bersama dalam kenderaan The Beast iaitu kereta rasmi Presiden Amerika Syarikat. Ia mengulangi penghormatan yang diberikan kepada Netanyahu yang turut dijemput naik bersama kenderaan itu pada 13 Oktober lepas,” selar beliau.



