KUALA LUMPUR – Kesalahan memanggil nama pemimpin negara-negara ASEAN adalah suatu kesilapan protokol yang sangat besar dan amat memalukan negara di pentas antarabangsa.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, ia menunjukkan tahap ketidakcekapan dan kecuaian yang tidak dapat dimaafkan dalam penganjuran acara berprofil tinggi seperti Sidang Kemuncak ASEAN.
“Paling memalukan dan tidak boleh diterima adalah isu kecuaian protokol aras tertinggi apabila nama Ketua-Ketua Kerajaan rakan serantau ASEAN silap disebut semasa majlis rasmi.
“Oleh yang demikian, Perikatan Nasional (PN) menuntut agar Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, bertanggungjawab dan meletakkan jawatan serta-merta.
“Kecuaian yang melibatkan komunikasi dan protokol di acara antarabangsa adalah di bawah bidang kuasa kementerian beliau dan membuktikan kegagalan kepimpinan dalam memastikan kelancaran acara rasmi negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Susulan itu, Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf ke atas kesilapan pengulas yang silap menyebut nama Presiden Indonesia ketika siaran langsung majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam.
Jabatan tersebut dalam satu kenyataan berkata, pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandang serius perkara tersebut dan tindakan sewajarnya telah diambil.
“Berdasarkan siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang telah menyebut nama Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden sekarang ialah Prabowo Subianto.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu berkata, RTM juga akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta dalam ketepatan dan integriti dalam setiap maklumat yang disampaikan.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga merangkap Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN turut mengulas beberapa insiden yang berlaku semasa persidangan tersebut, terutamanya melibatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“PN mengecam sambutan “gilang-gemilang” yang diberikan kepada Presiden Donald Trump yang tiba bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN. Sambutan berlebihan ini amat tidak sensitif dan bercanggah dengan pendirian Malaysia yang selama ini teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Adalah diketahui umum bahawa pentadbiran AS, khususnya di bawah Trump, telah memberikan sokongan tanpa syarat kepada rejim Zionis, sekali gus membolehkan kekejaman dan penyembelihan rakyat Palestin, terutamanya di Gaza, berterusan.
“Memberikan karpet merah dan sambutan yang meriah kepada seorang pemimpin yang dikaitkan dengan dasar yang menyokong penindasan terhadap umat Islam di Palestin adalah suatu tindakan pengkhianatan terhadap solidariti Palestin dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang kita perjuangkan,” selar beliau.
Wakil rakyat Bersatu itu juga mendakwa Perbuatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat menari dan berjoget bersama-sama Donald Trump sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merupakan satu aksi yang amat jijik dan memalukan.
Ujar beliau, tindakan tersebut, yang tular di media sosial, bukan sahaja mencemarkan imej seorang Perdana Menteri yang terkenal dengan pendirian tegas terhadap isu Palestin, malah dilihat merendahkan martabat kepimpinan negara dan rakyat Malaysia sendiri.
“Di saat seluruh dunia sedang berdukacita dengan nasib saudara kita di Gaza, Perdana Menteri seolah-olah menggembirakan hati sekutu kuat kepada penindas dengan tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dalam konteks diplomasi rasmi,” kritik Wan Ahmad Fayhsal lagi.
Tambah beliau, PN turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani bersama Amerika Syarikat di tengah-tengah Sidang Kemuncak ASEAN ini.
“Walaupun diumumkan sebagai ‘timbal balik’, PN menegaskan perjanjian ini akan merugikan Malaysia dalam jangka masa panjang, terutamanya dengan dikekalkannya tarif 19 peratus bagi import barangan Malaysia ke AS dengan hanya “beberapa pengecualian”.
“Selain itu, arahan pematuhan kepada sekatan perdagangan dan duti tambahan keatas negara ketiga seperti China, Rusia dan Iran atas alasan ‘penjajaran ekonomi dan keselamatan negara’ akan memberi kesan secara langsung kepada kebebasan Malaysia bagi menentukan dasar ekonomi dan diplomasi tersendiri terhadap negara lain.
“Di akhirnya, Malaysia akan mengikat dasar luarnya dengan blok Barat dan tidak lagi bebas berkecuali.
“Perjanjian sebegini, jika tidak diteliti secara menyeluruh dan telus, boleh mengancam kedaulatan ekonomi negara dengan membuka ruang eksploitasi dan ketergantungan yang tidak seimbang kepada kuasa asing,” tegur beliau.



