FELDA Anak Emas Kerajaan – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Kerajaan sentiasa serius menjaga kemaslahatan warga FELDA dan ini dibuktikan dengan pelbagai inisiatif diumumkan setiap tahun untuk meningkatkan taraf hidup peneroka FELDA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah berkata, warga FELDA sentiasa diberi perhatian khusus oleh kerajaan dan beliau sendiri sehingga ada yang melabelkan warga FELDA ini anak emas Kerajaan.

“Jika label yang diberikan itu membawa maksud kesejahteraan warga FELDA, ini bermakna kerajaan benar-benar menjaga kebajikan dan kemakmuran warga FELDA,” katanya pada Majlis Himpunan Keluarga FELDA Teguh Bersama di Felda Mayam, Bera, Pahang pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2022 yang diadakan pada Julai lepas, beliau telah mengumumkan pelbagai bentuk inisiatif untuk membantu warga FELDA termasuk generasi baharunya.

“Pengumuman itu antara lainnya melibatkan model Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang ditambah baik dengan memperkenalkan inisiatif lot generasi FELDA.

“Sebanyak 8,670 unit lot generasi FELDA telah dikenal pasti dan 770 unit telah pun dilaksanakan secara undian lot.Saya juga mengumumkan dana berjumlah RM20 juta yang diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan kepada pinjaman-pinjaman perumahan dalam kalangan generasi baharu FELDA.

“Di bawah skim ini, mereka tidak memerlukan sebarang cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Selain itu kata beliau, projek PGBF yang terbengkalai melibatkan 1,400 unit juga akan disiapkan menerusi inisiatif pembiayaan swasta dengan kos pembangunan RM204 juta.

“Saya difahamkan projek perumahan ini akan dimulakan pada Disember ini dan dijangka siap untuk diduduki pada Disember 2024.

“Dalam pada itu, bagi memberikan peluang kepada generasi baharu untuk melebarkan perniagaan mereka, saya telah mengumumkan penubuhan Tabung Usahawan Belia FELDA dengan dana pusingan RM10 juta.

“Alhamdulillah, sejumlah 23 permohonan telah diterima di peringkat wilayah dan permohonan ini seterusnya akan dibawa ke peringkat ibu pejabat untuk kelulusan. Saya menyeru kepada FELDA supaya menyegerakan proses ini bagi memastikan manfaat kepada generasi baharu dapat dioptimumkan.

“Usahawan generasi baharu ini mesti dibantu kerana mereka juga antara penggerak Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang signifikan sumbangannya kepada ekonomi negara iaitu 45 peratus daripada KDNK,” ujarnya.

Tambah Perdana Menteri lagi, kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan juga rintihan peneroka getah yang terjejas pendapatan, termasuklah mereka di tanah rancangan ini yang akan diberikan pembelaan sewajarnya.

“Alhamdulillah, bagi peneroka getah yang bersama-sama FELDA, kita telah melaksanakan pengambilalihan Pusat Mengumpul Getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd pada bulan Julai 2022.

“Melalui pengambilalihan yang melibatkan perbelanjaan RM6.1 juta, FELDA berjaya memberikan lebihan pendapatan RM11.2 juta kepada 10,707 peneroka
tanaman getah yang dicapai melalui langkah-langkah pengurangan kos operasi kilang.

“Selain itu, Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperkenalkan bagi meningkatkan serta mempelbagaikan pendapatan peneroka mula membuahkan hasil apabila 8,637 projek telah diluluskan dengan peruntukan RM237 juta. Di Parlimen Bera ini sahaja, sejumlah 184 projek telah
diluluskan dengan peruntukan RM8.4 juta manakala di seluruh negara, projek-projek yang dilaksanakan telah berjaya memberikan purata pendapatan bulanan sebanyak RM444 kepada para peneroka terlibat,” kata Ismail Sabri.

Bahkan menurut beliau lagi, FELDA juga menyertai projek jagung bijirin yang melibatkan peruntukan RM20 juta dengan kerjasama FGV di tanah seluas 3,500 hektar di mana 200 hektar daripadanya merupakan tanah FELDA.

“Tahniah saya ucapkan kepada FELDA dan FGV kerana membantu kerajaan memperkasakan sekuriti makanan negara,” ucap beliau.

Tambah beliau, pada pembentangan Bajet 2023, kerajaan turut bersetuju memberi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah FELDA di seluruh negara sebanyak RM800 sebulan selama empat bulan.

“Ini kerana kerajaan memahami cabaran dan kepayahan yang dihadapi pekebun kecil getah pada musim tengkujuh.

“Pada sambutan Hari Peneroka FELDA 2022 juga, saya telah mengumumkan peruntukan khas RM66,000 bagi setiap rancangan tanah sempena ulang tahun ke-66 FELDA, kerana infrastruktur yang sempurna penting kepada kesejahteraan warganya.

“Hari ini juga kita akan menyerahkan peruntukan dana ini kepada 14 buah rancangan tanah di Parlimen Bera dengan jumlah keseluruhan RM924,000.

“Saya berharap peruntukan ini akan digunakan sebaiknya bagi menaik taraf infrastruktur terlibat sekali gus meningkatkan tahap keselamatan selain memberi keceriaan kepada kawasan rancangan,” jelas beliau.

Perdana Menteri juga menyebut, FELDA pernah berada di puncak kegemilangan tetapi terpaksa menempuh pelbagai ujian dan meredah pelbagai cabaran yang sukar.

“Namun, berkat sokongan daripada kerajaan dan berkat usaha pengurusan FELDA, Pelan Pemulihan FELDA telah mula menunjukkan hasil. Alhamdulillah, FELDA juga berjaya menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi pengauditan Penyata Kewangan FELDA bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 pada 20 Oktober 2022.

“Penyata Kewangan FELDA diaudit oleh firma audit swasta PricewaterhouseCooper PLT (PwC) yang dilantik oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bermula bulan Disember 2021 sehingga Julai 2022.

“Pengiktirafan ini juga merupakan cerminan terhadap komitmen FELDA dalam memperkasa tadbir urus yang lebih baik,” ucap beliau.

Ismail Sabri berkata, beliau yakin kejayaan ini akan mengembalikan semula keyakinan peneroka, generasi baharu dan juga orang awam terhadap FELDA.

“Sekali lagi tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Idris Jusoh, yang telah menerajui agensi ini dengan cemerlang bersama-sama barisan pengurusan serta petugas FELDA,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat