KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan susulan sesi pertemuan dan tabayun bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, berhubung isu yang dikaitkan dengan unsur ‘New Age Movement’ (NAM).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, teguran itu merangkumi kandungan dan pengisian program yang telah dijalankan, selain pendekatan yang digunakan serta implikasinya terhadap agama dan akidah.
“Hasil pertemuan tersebut, beberapa teguran, nasihat dan panduan telah diberikan termasuk berkaitan kandungan dan pengisian program yang telah dijalankan serta pendekatan yang digunakan dan mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penekanan turut diberikan supaya sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan.
Pengisian berkaitan agama juga, katanya, perlu sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti.
JAKIM menjelaskan perkara itu susulan pertanyaan masyarakat, termasuk melalui halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari, berhubung isu NAM yang turut dikaitkan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sirajuddin berkata, isu berkenaan telah diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh bagi mendapatkan pandangan serta penelitian berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti yang bersesuaian.
Katanya, sesi pertemuan dan tabayun bersama Timbalan Menteri berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai perkara yang dibangkitkan.
Sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM serta pihak berkaitan.
Penglibatan tersebut bertujuan memastikan isu berkenaan diteliti dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan program atau kandungan yang menjadi subjek teguran, mahupun menyatakan sebarang keputusan bahawa Timbalan Menteri berkenaan terlibat dalam ajaran NAM.
Dalam kenyataan sama, Sirajuddin menegaskan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM kekal konsisten dan tegas menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak serta prinsip akidah Islam.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.
“JAKIM akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama,” katanya.



