MTUC minta gaji minimum RM3,100 dalam pembentangan belanjawan tahun depan

KUALA LUMPUR – Menjelang pembentangan belanjawan tahun depan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menetapkan gaji minimum pada kadar RM3,100 kerana paras gaji minimum semasa belum seiring peningkatan produktiviti dan keuntungan yang diraih syarikat.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disarankan jadi peneraju dalam usaha memberikan gaji yang lebih baik sebelum sektor swasta didesak berbuat demikian.

“Gaji adil mesti bermula dengan pengurusan GLC dan GLIC. Bukan hanya pengurusan tertinggi menikmati manfaat dan pekerja bawahan mendapat sisanya,” menurut beliau dalam satu kenyataan.

Beliau menerima baik kritikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat besar yang menawarkan gaji yang rendah walaupun dapat keuntungan yang tinggi.

MTUC menegaskan pekerja yang membantu syarikat jana keuntungan yang tinggi berhak mendapat gaji yang lebih adil.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, Belanjawan 2027 akan merangkumi langkah meningkatkan tahap gaji pekerja sektor swasta sejajar peningkatan produktiviti.

Beliau yang juga memegang jawatan Menteri kewangan berkata, pentadbirannya akan mencari jalan berunding dengan sektor swasta bagi menaikkan gaji selaras tahap produktiviti, bukannya mengugut menggunakan tindakan undang-undang.

Sejak Mei 2025, enam GLIC menetapkan gaji minimum RM3,100 untuk pekerja tetap sebagai sebahagian pelaksanaan dasar gaji kehidupan wajar. Ia termasuk Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji.

Tahun lalu, Anwar memberitahu Parlimen, 34 GLC dan GLIC telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar RM3,100.

Gaji minimum semasa ialah RM1,700 sebulan.

Anwar dilaporkan berkata, gaji minimum RM1,700 tidak patut dijadikan gaji permulaan bagi pekerja mahir atau graduan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat