KUALA LUMPUR, – Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menzahirkan rasa kecewa dan memandang serius keputusan FIFA yang mengenakan denda RM1.9 juta (CHF 350,000) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta menggantung tujuh pemain selama setahun kerana menggunakan dokumen palsu.
Hukuman itu dibuat di bawah Artikel 22 Kod Etika FIFA berhubung pemalsuan dokumen.
PN menyifatkan skandal ini sebagai tamparan hebat kepada maruah negara di pentas antarabangsa, sekali gus mencerminkan kelemahan tadbir urus dan ketelusan FAM.
“Rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak, berhak marah kerana nama baik negara telah dipalit dengan aib. Insiden sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia menampakkan FAM hilang kawalan,” kata Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurut beliau, isu ini bukan sekadar kesilapan teknikal, sebaliknya satu pengkhianatan terhadap integriti sukan negara.
PN menuntut agar siasatan bebas dan telus segera dijalankan, bukan sahaja melibatkan FAM tetapi juga pihak berkuasa berkaitan.
“Jika terbukti ada individu bersalah, tindakan tegas tanpa kompromi mesti diambil,” tegasnya.
PN turut menuntut Menteri Belia dan Sukan segera tampil memberi penjelasan langkah-langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap bola sepak negara.
“Jika kita benar-benar mahu melihat bola sepak Malaysia kembali dihormati, jalan pintas dengan menipu dokumen bukanlah jawapannya. Hanya disiplin, ketelusan, dan integriti mampu mengangkat kembali maruah bola sepak negara,” tambah Takiyuddin yang juga mantan Naib Presiden FAM.



