RUU Perolehan Kerajaan elak keterlanjuran masa lalu berulang, noktahkan rasuah, ketirisan wang rakyat – PM

KUALA LUMPUR – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 bakal menoktahkan amalan rasuah dan ketirisan wang rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, RUU ini dapat menutup segala ruang dan peluang yang selama ini terbuka untuk dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sejarah panjang negara ini penuh dengan pengajaran yang gelap dan pahit. Hampir kesemua ketelanjuran masa lalu, dari skandal Maminco sekitar tahun 80-an, kejatuhan Bank Bumiputera, kerugian besar akibat urus niaga Forex, hinggalah tragedi 1MDB, perolehan LCS dan perolehan ketenteraan serta yang terbaru skandal Jana Wibawa telah menjadi bukti nyata bahawa persoalan ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, malah tuntutan yang mesti kita laksanakan.

“Kita mesti memastikan bahawa tidak ada lagi pengulangan seumpamanya pada masa hadapan. Kita juga menegaskan bahawa budaya penganugerahan kontrak secara runding terus tidak boleh diteruskan.

“Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan bobrok yang hanya membuka ruang kepada ketirisan, kronisme dan penyalahgunaan kuasa dan bahawa seluruh jentera dan sendi kekuasaan mesti patuh tunduk pada hukum dan undang- undang, bukan sebaliknya,” katanya ketika bacaan kali kedua RUU Perolehan Kerajaan 2005 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tegas Menteri Kewangan itu lagi, bagi menjawab cabaran ini, kerajaan telahpun menggerakkan beberapa kerangka penting – Kerangka Ekonomi Madani serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) digarap bukan sahaja dalam memperkukuh ekonomi, tetapi bagi meleraikan segala kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama.

“Usaha memecahkan hegemoni dan monopoli kartel, dari telur, ayam, sayur-sayuran, hinggalah ubat-ubatan sedang digerak dan dilaksanakan, meski jalannya penuh onak dan duri.

“Penggubalan RUU Perolehan Kerajaan 2025 mengandungi 12 Bahagian dan 93 Fasal dengan hasrat untuk mencapai beberapa pendekatan dan matlamat yang jelas dan tega – pertama, untuk meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana daripada kerajaan – maknanya, RUU ini bersifat menyeluruh dan berkuat kuasa bukan hanya kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi terpakai kepada semua entiti di bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mengikut sumber peruntukan disediakan.

“RUU ini juga terpakai kepada semua badan berkanun Persekutuan, badan berkanun negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan mana-mana entiti yang menerima geran atau pinjaman daripada kerajaan,” jelas Perdana Menteri.

Anwar menambah, integriti dalam proses perolehan dapat ditingkatkan apabila semua pihak yang terlibat dalam perolehan kerajaan wajib untuk menzahirkan kepentingan.

Ujar beliau, RUU ini juga bertepatan dengan kehendak NACS yang mahu memperkasa pelaksanaan perolehan kerajaan bagi memperbaiki kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.

“Bagi mengenakan tindakan punitif yang tegas ke atas mana-mana pesalah. Tak kira penjawat awam termasuk yang telah bersara, kontraktor atau mana-mana pihak, sekiranya didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda atau penjara.

“Kawal selia perolehan Kerajaan akan diperkasa melalui pewujudan pasukan penyiasatan dan pasukan penguatkuasaan dengan kuasa yang jelas. Langkah ini bagi mengekang pelanggaran Akta Perolehan Kerajaan dan ketidakpatuhan peraturan perolehan dalam semua peringkat perolehan kerajaan.

“Umpamanya, kesalahan memindah pemberian perolehan/kontrak perolehan termasuk mencegah gejala rent-seeking boleh dijatuhi hukuman denda tidak kurang tiga kali ganda nilai pemberian atau kontrak perolehan kerajaan atau satu juta ringgit, yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

“Gagal menzahirkan kepentingan termasuk kepentingan mana-mana pemunya benefisial pula boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

“Campur tangan yang mengganggu proses perolehan kerajaan juga boleh disabit kesalahan dan dihukum denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” ujar beliau.

Pada masa yang sama kata Anwar lagi, penjawat awam mempunyai peranan penting dan wajib untuk melaporkan mana mana pelanggaran atau potensi pelanggaran kepada
badan penguat kuasa seperti SPRM, PDRM dan MyCC.

“Ini dapat mengekang amalan perolehan yang tidak adil dan sering disalah guna.

“RUU ini digubal berpaksikan prinsip memperkukuh serta mengangkat nilai pertanggungjawaban dan ketelusan perolehan kerajaan bagi memaksima manfaat daripada penggunaan dana awam.

“Perolehan terbuka ditekankan bagi meningkatkan semangat daya saing yang adil dan saksama selain mendukung integriti melalui prinsip penzahiran. Ini memastikan setiap perolehan kerajaan memberi nilai faedah terbaik kepada rakyat dan mengambil kira dasar-dasar pembangunan ekonomi dan sosial.

“Bagi memastikan keadilan bagi keputusan perolehan kerajaan, RUU ini menyediakan ruang melaksanakan proses rayuan atau bantahan dengan mewajibkan penubuhan dan pentadbiran Panel Kajian Semula ke atas keputusan di semua agensi pelaksana perolehan kerajaan dan menubuhkan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.

Selain itu beliau memberitahu, RUU ini bertepatan dengan amalan terbaik antarabangsa – merujuk amalan terbaik badan antarabangsa seperti United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL) Model Law on Public Procurement, World Trade Organisation – Government Procurement Agreement, United Nations Development Programme (UNDP) – Chartered Institute of Procurement & Supply (CIPS) serta peraturan perolehan World Bank.

Kata Anwar lagi, RUU ini tetap punyai ruang untuk terus menyokong dasar utama dan keperluan semasa.

“Kendatipun amalan terbaik antarabangsa diteliti sebagai rujukan, penggubalan RUU ini tidak sekali kali menggadaikan kepentingan negara. Terdapat ruang membolehkan dasar-dasar utama negara dan keperluan semasa terus disokong.

“Sementara RUU ini menetapkan peruntukan terkait pentadbiran dan kuasa melulus perolehan kerajaan serta keperluan pematuhan dan tindakan punitif yang boleh diambil termasuk ruang merayu dan aduan; RUU ini turut disokong peraturan, arahan perolehan dan dasar-dasar perolehan dikeluarkan Kementerian Kewangan,” kata Anwar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat