KUALA LUMPUR- Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan digugurkan keahlian Umno secara automatik apabila dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk DUN N.12 Jeram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Itu pengesahan pelucutan keahlian Harisson itu dibuat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang akhbar di Putrajaya pada Khamis.
Zahid berkata, beliau langsung tidak terkejut dengan tindakan Harrison itu kerana khabar angin mengenainya (bertanding calon PN) sudah tersebar sebulan lalu.
Menurutnya, mengikut Perlembagaan Umno dan peraturan Lembaga Disiplin Umno, Harrison secara automatiknya tergugur sebagai ahli Umno.
“Saya sudah dengar (khabar angin) sebulan lalu, jadi, saya tidak terkejut dengan perkara itu.
“Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain, maka, itu pilihan dibuat oleh individu berkenaan,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada Harrison pernah memohon untuk keluar daripada Umno, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak dapat maklumat itu sebaliknya hanya mendengar khabar angin beliau (Harrison) akan bertanding atas tiket parti lain.
Malam tadi, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu bertanding di 56 kerusi bagi PRN Selangor dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diwakili 21 calon diikuti PAS (17), Gerakan (lapan) serta 10 calon mewakili Bersatu-Bersekutu, iaitu satu daripada sayap Bersatu.