KUALA LUMPUR: Penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri ke-6, Dato’ Mohd Seri Najib Tun Razak iaitu ‘Bossku’ akan memberi sokongan penuh terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Menurut Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, sebagai ahli UMNO, pihaknya telah hilang kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tegas Syed, Ahmad Zahid menjadikan parti UMNO seperti milik individu.
Malah katanya lagi, Ahmad Zahid menggunakan kuasanya untuk memecat dan mengantung keahlian kepada sesiapa yang menyuarakan kritikan dan pendapat yang bertentangan dengan beliau.
“Kami dengan ini menzahirkan sokongan kepada PN dan menyeru semua ahli di bawah naungan kami untuk bersama kami menyokong PN.
“Mari kita jadikan PRN ini sebagai referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid.
“Kami berharap sokongan kepada PN akan membangkitkan semula keadilan kepada Najib dengan menurut lunas undang-undang,” katanya dalam sidang media di ibu negara sebentar tadi.
Selama ini katanya lagi, pihaknya mengambil sikap bersangka baik kepada Ahmad Zahid berkenaan keadilan terhadap Najib Razak.
Begitupun, tegasnya Ahmad Zahid disifatkan diam menikus apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup pintu keadilan, walaupun ada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya boleh mencetus perbicaraan semula yang lebih adil kepada bekas Presiden UMNO itu.
“Nyata sekali Ahmad Zahid tiada keinginan untuk memberi keadilan kepada Najib.
“Kami sudah tidak selesa lagi apabila Ahmad Zahid terus menerus mempergunakan kami untuk menyokong beliau dengan menunggang nama Najib.
“Kami harap PN akan dapat membawa balik kesatuan ummah dan menolak penguasaan DAP yang merupakan musuh tradisi UMNO,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, tegas Syed pihaknya belum berjumpa mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN) buat masa ini.
“Kami masih belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin PN setakat ini,
“Kami berharap kepimpinan parti itu akan menyambut tangan mereka untuk bersama.” Katanya.