Sediakan Payung Sebelum Hujan: Ekonomi Gig dan Universiti Tempatan

- Advertisement -

Oleh: Niza Afendi dan Mugi Sahadevan

Pada era globalisasi ini, evolusi teknologi seperti telefon pintar dan media sosial telah berubah secara mendadak. Antaranya ialah norma kehidupan dan cara kita membelanjakan wang. Tranformasi ke arah ekonomi digital semakin pesat dan kini, ditambah pula dengan pandemik yang melanda dunia merancakkan lagi perkembangan e-commerce.

Kita telah mula menyesuaikan diri dengan gaya hidup digital seperti memperbaharui dan mempromosi semua bentuk perniagaan yang ada di akuan sosial media. Hubungan yang keterlaluan antara kita dan rangkaian sosial telah membuka jalan baru untuk menghasilkan dan membelanjakan wang yang menjadi trend kepada kewujudan “Ekonomi Gig”.

Perniagaan atas talian semakin meningkat dan pada waktu yang sama dengan penularan wabak Covid-19 ini mempercepatkan lagi trend gig ekonomi. Dapat dibayangkan pada suatu ketika nanti kedai fizikal akan hanya menjadi sejarah. Dipetik daripada Molly Turner seorang pensyarah di Sekolah Perniagaan Haas, Universiti California; “Ekonomi gig bukanlah sesuatu yang baru tetapi ketika ini kebanyakan orang merujuk gig ekonomi pada jenis pekerjaan baru yang memungkinkan teknologi”. Beliau juga adalah seorang bekas Pengarah Dasar Awam untuk AirBnB.

Beliau menambah pada ketika ini, kesan pandemik turut memberi impak penurunan dalam perolehan AirBnB kerana orang ramai bimbang untuk pergi bercuti kerana takut jangkitan boleh berlaku. Maka, apakah “Ekonomi Gig?” Adakah ia adalah kaedah baharu untuk berurusniaga?

Ekonomi gig terdiri daripada tiga komponen utama: iaitu (1) pekerja bebas yang dibayar berdasarkan jenis tugasan/projek yang ditawarkan, (2) pengguna yang memerlukan perkhidmatan tertentu, dan (3) syarikat yang menghubungkan pekerja dengan pengguna secara langsung. Maka wujudlah platform perantara penyedia perkhidmatan digital seperti Uber, AirBnB dan Lyft yang menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi gig yang bermula di Amerika Syarikat.

Malah ekonomi gig sudah menunjukkan kesannya di Malaysia seiring dengan revolusi industri 4.0. Revolusi ini cukup popular di bandar-bandar besar dan sebagai contohnya adalah perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda, GrabFood, GoEat, BungkusIt dan sebagainya. Malah tidak ketinggalan kemunculan platform ini di bandar-bandar kecil seluruh negara.  Syarikat-syarikat tersebut bertindak sebagai media di mana pekerja dihubungkan dan perkhidmatan yang telah dipersetujui akhirnya dibayar oleh pengguna.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, salah satu perbezaan utama antara ekonomi gig dan ekonomi tradisional adalah tugas pekerjaan adalah sementara, dan pekerja hanya dibayar untuk tugasan tertentu. Wujud berbagai perdebatan mengenai apa yang merangkumi ekonomi gig dan dan bagaimana ia berbeza dengan “freelancing”. Secara mudah, kedua-dua istilah itu adalah sinonim. Oleh hal yang demikian, ia juga boleh disebut sebagai ekonomi perkongsian atau kolaborasi (sharing economy).

Kemajuan teknologi telah membuka jalan bagi mereka yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan melalui laman web atau aplikasi mudah alih, yang turut ditekankan oleh Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia). Menurut beliau lagi, kaedah ini amat popular di kalangan orang muda. Walaupun, kita sudah biasa dengan perkhidmatan penghantaran makanan, namun sekarang golongan professional juga mula menawarkan perkhidmatan seperti perundingan undang-undang, kewartawanan dan penulisan iklan. Antara lain, ini semua adalah tergolong dalam ekonomi gig (New Straits Time, Februari 2020).

Seterusnya, persoalan utama dalam ekonomi gig ialah: Adakah universiti tempatan di Malaysia bersedia menghadapi fenomena ekonomi gig? Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menyebut bahawa ekonomi gig adalah trend baru dan bakal menjadi penyumbang besar bagi pertumbuhan ekonomi negara kita. Selain daripada itu, ekonomi gig akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). Seiring dengan matlamat perancangan tersebut, adakah universiti tempatan kita menawarkan kursus setaraf untuk menghadapi ekonomi gig? Di mana universiti adalah pengeluar utama pekerja dan majikan pada masa depan, dan adakah pengetahuan yang telah diajar di universiti boleh dipraktikkan oleh pelajar pada masa hadapan?

Sebagai contoh, seorang Profesor pascasiswazah di Amerika Syarikat telah mengenengahkan kursus yang bertajuk “Keusahawanan dan Ekonomi Gig”. Konsepnya adalah mengajar pelajar pascasiswazah bagaimana mendapatkan pekerjaan kontrak, kemahiran berunding dan kemahiran komunikasi dalam menghadapi dunia digital. Selain daripada itu, beliau juga menawarkan kursus yang bersesuaian kepada pekerja, majikan dan kontraktor bebas. Kursus semasa yang ditawarkan di sekolah pengajian beliau dapat mendidik pelajar untuk menempuh pekerjaan sepenuh masa dan juga berniaga melalui media sosial dan beberapa platform lain.

Konklusinya, kami percaya dengan menawarkan kursus yang berkaitan dengan ekonomi gig akan memudahkan pelajar kita menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif. Selain daripada itu, pelajar kita akan bersikap lebih fleksibel dalam mencari pekerjaan pada masa hadapan.

Sumber gambar: Internet

*Niza Afendi dan Mugi Sahadevan, Tutor Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah Darul Aman

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat