PELAWAK dan ahli perniagaan, Shuib Sepahtu mendedahkan terdapat individu yang berasa kurang senang dengan kehidupan yang dinikmatinya bersama keluarga kini.
Shuib berkata, lebih menyedihkan apabila pihak berkenaan adalah orang yang tergolong dalam kalangan individu yang sering berada di sekelilingnya.
“Tak semua orang suka lihat kita berjaya. Kawan yang ada pun, tak semua yang senang. Tapi itulah hukum alam dan adat dalam berniaga.
“Bila kita berada di bawah orang mencucuk-cucuk, bila kita berada di atas, ada yang nak jolok-jolok, nak suruh jatuh,” katanya ditemui ketika pelancaran cawangan Bubble Bee yang ke-8 di Senawang, Negeri Sembilan.
Shuib, berkata demikian ketika diminta menjelaskan maksud satu entri berbaur rasa kecewa terhadap seseorang yang dikongsinya di Instagram Story baru-baru ini.
Menurut Shuib, walaupu n kecewa dengan sikap individu itu, dia bagaimanapun memilih untuk mendiamkan diri sahaja kerana enggan mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya suka simpan sendiri. Ada perkara lebih baik kita simpan sahaja, sebab saya tak suka bergaduh.
“Biarlah Allah buat kerja, kita rileks sahaja sebab lambat laun orang itu akan sedar yang dia tak patut buat begitu,” katanya.
Menyentuh mengenai cawangan di Senawang, Shuib berkata itu adalah yang pertama dibukanya di luar Lembah Klang.
“Saya sasarkan untuk buka sebanyak 100 cawangan, sebelum penghujung tahun ini. Bagaimanapun, ia bergantung kepada situasi semasa.
“Apapun, saya tak sangka masyarakat di luar Lembah Klang memberi sambutan lebih luar biasa sampai ada yang sanggup beratur selama tujuh jam”, katanya yang memperkenalkan rakan kongsi iaitu Nik Ruasma Nik Ahmad Ruzi.
Harian Metro