KUALA LUMPUR – Tiada mana-mana kerajaan yang waras mahu menyusahkan rakyat apatah lagi menghancurkan negara sendiri, tegas Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu malah menegaskan,setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan kajian, libat urus, dan pertimbangan menyeluruh demi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan.
Sehubungan itu Mohamad berkata, rakyat perlu bersikap adil dan terbuka dalam menilai setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan.
“Alhamdulillah.Salah satu tujuan utama Kerajaan Madani menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam bermula 1 November 2023 adalah untuk memastikan penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan semula kepada sektor ternakan secara lebih berfokus dan strategik.
“Langkah ini termasuklah usaha membuka semula reban-reban ayam yang telah ditinggalkan, menaik taraf kepada sistem reban ayam tertutup, serta menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penternak bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran ayam negara secara mampan dan berdaya saing,” jelasnya.
Dalam masa yang sama Mohamad berkata, penting untuk kita sedar bahawa tidak semua dasar dan keputusan kerajaan akan memberikan impak serta-merta.
“Ada inisiatif yang mengambil masa untuk menunjukkan hasil, dan ada juga yang memerlukan beberapa tahun sebelum kesannya benar-benar dirasai oleh rakyat dan negara.
“Apa yang lebih penting ialah hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang konsisten,” ujar beliau.