Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar hari ini melancarkan Du’at Al Falah iaitu sebuah gabungan pendakwah yang terdiri dari kalangan ahli ilmuwan, golongan profesional dan para asatizah.
Seramai 250 orang telah terpilih sebagai Du’at Al Falah ini. Mereka ini akan bertindak sebagai pembentuk watak du’at selaras dengan nilai wasatiyah, hikmah, rahmah, matang dan cerdas.
Mohd Na’im berkata, Du’at Al Falah membawa pendekatan kesederhanaan dan berpegang teguh dengan asas akidah ahli sunnah wal jamaah yang sebenar.
“Mereka dipilih dari kalangan para pendakwah yang telah dikenalpasti menerusi pengesyoran oleh institusi dan organisasi dakwah berasaskan tiga kategori iaitu Du’at Komuniti, Du’at Akademia dan Du’at Belia.
“Perlantikan ini merupakan salah satu usaha membentuk komuniti pendakwah yang soleh dan musleh. Selain itu, para pendakwah akan menjadi ikon contoh dalam mengangkat nilai akhlak jua prinsip keagamaan yang menghormati nilai kemanusiaan (insaniyah) dan menolak segala bentuk kekerasan (ghuluw) dalam beragama.” katanya di majlis pelancaran Du’at Al Falah hari ini.
Objektif Du’at Al-Falah adalah melahirkan Du’at yang sentiasa mendidik masyarakat setempat dan komuniti dengan 6 nilai teras Malaysia Madani. Du’at juga berperanan sebagai ejen dakwah bagi membawa pendekatan sederhana (wasatiy) dan pemikiran bertamadun (madaniyyah) dalam proses perubahan (islah) dan menegak keadilan sosial di Malaysia.
Mohd Na’im menambah, Du’at Al-Falah ini berperanan membimbing kefahaman masyarakat tentang teras-teras pembinaan Malaysia Madani.
“Malaysia Madani berpandukan 6 teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Diharap para Du’at Al-Falah akan menjadi pembimbing masyarakat bagi meningkatkan kualiti ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan menerapkan nilai-nilai unggul Malaysia Madani dalam komuniti di segenap peringkat sepertimana yang dihasratkan Perdana Menteri.”