Dasar harga bahan api pincang, rakyat dipaksa tanggung beban – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, – Perikatan Nasional (PN) mendakwa dasar penetapan harga bahan api kerajaan ketika ini bersifat pincang dan gagal mengambil kira realiti sebenar dihadapi rakyat, sekali gus memaksa pengguna menanggung beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaksanaan langkah menghadkan pengisian petrol RON95 kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini adalah contoh jelas pendekatan dasar yang tidak menyelesaikan punca sebenar, sebaliknya menambah tekanan kepada rakyat.

Menurut beliau, kerajaan tidak seharusnya beralasan bahawa majoriti rakyat tidak terkesan kerana hakikatnya golongan pekerja sendiri, peniaga kecil, pengusaha logistik skala kecil serta isi rumah berpendapatan sederhana adalah antara kumpulan paling terdedah kepada kesan langsung kenaikan kos bahan api.

“Apabila harga bahan api meningkat dan penggunaan dihadkan, kos operasi harian akan meningkat. Ini memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan, yang akhirnya ditanggung oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan mengehadkan penggunaan bahan api menunjukkan kegagalan kerajaan mengurus mekanisme subsidi dan harga secara berkesan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kecekapan pentadbiran ekonomi semasa.

Dalam masa sama, beliau berkata, kenaikan harga diesel sehingga mencecah RM5.52 seliter memberi tekanan besar kepada sektor pengangkutan dan logistik, yang menjadi tulang belakang kepada rantaian bekalan negara.

Katanya, peningkatan kos dalam sektor ini akan membawa kepada kesan berantai termasuk kenaikan harga makanan, barangan keperluan harian serta kos perkhidmatan, sekali gus membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sehubungan itu, PN mengemukakan lapan cadangan bagi membantu rakyat dan menstabilkan keadaan ekonomi:

Pertama, kerajaan disaran melaksanakan pendekatan berperingkat dalam sebarang kenaikan harga bahan api bagi mengelakkan kejutan harga kepada rakyat dan ekonomi.

Kedua, PN mencadangkan peluasan subsidi bersasar meliputi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor koperasi, pengangkutan, logistik serta rantaian bekalan asas, di samping memastikan golongan ekonomi pertengahan tidak tercicir.

Ketiga, pemberian subsidi strategik khusus kepada pengangkutan barangan keperluan asas bagi mengekang kenaikan harga makanan dan barangan pengguna.

Keempat, kerajaan perlu memanfaatkan hasil tambahan daripada eksport minyak (windfall revenue) untuk menampung subsidi sementara bagi melindungi rakyat daripada impak jangka pendek.

Kelima, meningkatkan ketelusan dengan memberi penjelasan terperinci mengenai mekanisme harga automatik (APM) supaya rakyat memahami struktur sebenar harga bahan api.

Keenam, memperketat penguatkuasaan terhadap aktiviti pencatutan harga bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Ketujuh, merangka pelan jangka panjang termasuk menyediakan simpanan minyak sekurang-kurangnya setahun, mempelbagaikan sumber import serta mengoptimumkan kapasiti penapisan domestik seperti fasiliti RAPID di Pengerang.

Kelapan, melaksanakan reformasi struktur tenaga negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada petroleum import serta memperkukuh pelan tenaga alternatif secara lebih menyeluruh.

“Rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kelemahan dasar dan salah urus mekanisme harga. Kerajaan perlu memperbetulkan pendekatan dan bukan memindahkan beban kepada pengguna,” katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu tampil dengan dasar yang lebih telus, responsif dan berpihak kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh dan tidak menambah beban dalam jangka panjang. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat