Cubaan Larikan Diri Gagal, 19 Suspek Tokan Dadah Berjaya Diberkas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Cubaan 19 individu disyaki pengedar dadah meloloskan diri menerusi bumbung sebuah flat di Jinjang, di sini, gagal apabila mereka diberkas polis dalam serbuan, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, 19 individu itu antara 27 orang yang ditahan dalam serbuan pada jam 5 pagi hingga 10 pagi.

“Ketika serbuan, kita mendapati 19 suspek cuba melarikan diri menerusi bumbung.

“Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama tiga jentera telah membantu dengan membawa anggota polis ke atas bumbung untuk memberkas kesemua suspek,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Eng Lai berkata, seramai 10 orang termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Seorang lelaki disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua lelaki pula disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

“Manakala 13 lelaki yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seorang lelaki pula disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia 23 tahun hingga 40 tahun itu telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Kita turut merampas dadah jenis methamphetamine anggaran berat 59.44 gram bernilai RM5,944, dua buah kereta Perodua Myvi, sebuah motorsikal jenis Yamaha Y15, seutas rantai bersama loket, tiga utas gelang tangan, tiga cincin, satu jam tangan dan wang tunai berjumlah RM603,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine.

“Hasil semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket lain dan sumber bekalan dadah diperolehi.

“Hasil daripada tangkapan dan rampasan tersebut, kita telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lalu,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat