Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – AL-QURAN merupakan kitab wahyu yang menyuluh cahaya terang benderang kepada kehidupan insan. Baris demi baris ayat-ayatnya dibaca, dikaji dan difahami, ianya akan merungkai segala kekusutan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian ketika menyampaikan ucaputama di Konvensyen Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 di sini pada Isnin.
Beliau berkata, melalui temanya ‘Meneroka Rahsia Alam Melalui Ayat-Ayat Kauniyyah’ dapat direalisasikan bagi melahirkan generasi madani dan ianya satu pendekatan ekplorasi alam bagi menyemarak intipati al-Quran dalam kehidupan.
Menurutnya, ayat -ayat Makkiyyah meliputi 19 juzu’ yang merangkumi 86 surah, manakala ayat-ayat Madaniyyah meliputi 11 juzu’ merangkumi 28 surah dalam al-Quran.
Sebanyak 114 surah-surah al -Quran menjadi kompas kehidupan buat seluruh penghuni bumi dan salah satu tuntutannya supaya umat manusia memerhati kejadian alam dengan penuh keinsafan.
Katanya, usaha mentadabbur ayat-ayat Kauniyyah melalui manhaj Tafsir ‘Ilmi yang sahih adalah untuk kita memandu kepada ibrah pengajaran dan keimanan yang berterusan.
Katanya lagi, penerokaan ayat-ayat kauniyyah amat bermanfaat untuk mengajak umat Islam merenung serta menghayati kebesaran Allah SWT.
Ayat -ayatnya membahaskan tentang penciptaan seperti langit, bumi, bulan, bintang, gunung-ganang, lautan, angin dan lain-lain yang memberikan pengajaran tentang tanda-tanda kebesaran-NYA.
Pentafsiran al -Quran berkaitan ayat-ayat Kauniyyah menyumbang kepada pendekatan kesepaduan sains dan wahyu. Untuk memahami ayat-ayat ini memerlukan kepada kefahaman ilmu sains.
Ayat-ayatnya memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan hubungan keagungan al-Quran dan alam dalam melestari kesimbangan unsur kerohanian, spiritual dan amalan serta hubungan sesama manusia.
“Al-Quran adalah kitab hidayah yang tersirat di dalamnya integrasi dalil naqli dan ‘aqli kepada kuasa Allah SWT Tuhan sekalian alam.
Ilmu kawn yang membicarakan tentang makhluk Allah SWT, langit, bumi dan segala sesuatu yang ada dalamnya, zatnya, sifatnya dan hal berkaitan. Ia juga bersesuaian dengan kemukjizatan al-Quran yang sentiasa diperkuatkan oleh ilmu pengetahuan, ”ujarnya.
“Al -Quran mengandungi maklumat sebagai petunjuk atau isyarat mengenai perkara-perkara yang menjadi bidang tumpuan kajian sains.
Kita akan lebih memahami tuntutan untuk melipatgandakan usaha menambah ilmu pengetahuan dari perspektif ilmu yang pelbagai agar dapat memakmur alam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, ”ujarnya lagi.
“JPM (Hal Ehwal Agama) dengan kekuatan seluruh agensinya akan sentiasa bekerjasama untuk merangka dan menggerakkan program-program pendidikan al-Quran kepada masyarakat.
Institusi masjid dan surau khususnya akan terus diupayakan sebagai madrasah kepada masyarakat untuk mempelajari serta memahami kupasan dan tafsiran al-Quran.
Alhamdulillah, saya memerhati dan menyedari ada beberapa masjid dan surau khususnya di Wilayah Persekutuan telah maju terkehadapan menyusun program-program penghayatan al-Quran,”katanya.
“Selain itu, usaha -usaha yang kreatif dan interaktif perlu diusahakan untuk kita mendekati anak-anak muda agar memahami serta menghayati al-Quran.
Kolaborasi bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta lain-lain agensi boleh diusahakan untuk menghasilkan program-program yang bersifat interaktif, ”tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya komited bagi meningkatkan kelestarian syiar Islam, membentuk generasi al-Quran yang mampu membentuk masyarkat Rabbani mampu memberi impak besar kepada pembangunan negara, keharmoniaan dan kelestarian sejagat.
“Konvensyen seumpama ini dapat dijadikan program secara berkala setiap tahun sebagai usaha berterusan bagi memperkasakan penghayatan al-Quran serta menjadi platform ke arah kelestarian al-Quran dan alam jagat raya bagi keharmonian sejagat.
Ianya memupuk budaya ‘cakna alam’ dan ‘selamatkan bumi’ melalui intipati al-Quran dan mengetengahkan nilai-nilai universal dan kebersamaan dalam meraikan kemajmukan bangsa, kaum serta budaya ke arah kelestarian alam semesta melalui bicara al-Quran di Malaysia, ”tambahnya lagi.
Menariknya di dalam konvensyen ini, bagaimana ayat-ayat Kauniyyah dalam al-Quran membicarakan tanda-tanda kekuasaan serta kebesaran Allah SWT telah dikupas dengan lebih mendalam oleh ahli panel ilmuwan Islam.
Antaranya Dekan Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen Abdul Hamid, Mantan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Mohd Arip Kasmo, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar UKM Prof. Madya Dr. Habibah Jamil dan Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) merangkap Ahli Lembaga Penasihat dan Pembangunan Al-Quran Malaysia, JAKIM Dato’ Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.
Selain itu, Profesor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Profesor Dr. Taufik Yap Yun Hin, S.S. Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Hj. Anhar Opir dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Nasyrul Quran, Prof. Kehormat Datuk Abdul Latiff Mirasa. -SUARA.TV